Persidangan Dalam Norma Baharu, Secara Maya Ada Tarikan Tersendiri – Ariffin Man

KUALA LUMPUR, 29 Dis – Setiausaha Kerja UMNO Negeri Kedah, Datuk Ariffin Man berkata walaupun persidangan bahagian dan sayap-sayap diadakan pada norma baharu namun beliau yakin ia akan berjalan dengan lancar.

Katanya, persidangan ini akan dihadiri oleh akar umbi UMNO dan ia mencukupi korum ¼ yang diminta oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS).

“Sekiranya ia dapat diterjemahkan dan saya penuh yakin persidangan UMNO ini akan berjalan dengan baik. Yang hadir dalam dewan tetapi di luar dewan akan terus melayari kita. Ia memenuhi perlembagaan UMNO dan ROS. Insya-Allah…kita tetap mempertahankan korum yang sentiasa ada dalam dewan persidangan.

“Kalau semua negeri bersidang di negeri masing-masing ini juga dikira kuorum termasuk dalam Dewan Merdeka. Lebih hebat kali ini kita dibolehkan untuk bersidang secara maya. Perwakilan boleh mengikuti dalam suasana kemeriahan.

“Saya yakin Perhimpunan Agung UMNO tetap meriah. Sama-sama kita tunggu dan sama-sama kita saksikan nanti pada 30 dan 31 Jan. Paling menarik hendak mendengar, melihat dan menghayati wakil-wakil negeri berucap di Dewan Merdeka dan dengar di negeri masing-masing,” jelasnya.

Beliau berkata demikian dalam wawancara Sembang Kopi ‘O’ – Norma Baharu Mesyuarat Perwakilan Sayap-sayap UMNO dan Perwakilan UMNO Bahagian Serta Perhimpunan Agung UMNO 2020 yang diadakan secara langsung melalui Facebook Badan Perhubungan UMNO Negeri Kedah, hari ini.

Tambah Ariffin lagi, walaupun majoriti perwakilan tidak ke Kuala Lumpur dan akan berada di negeri masing-masing tetapi suasananya tetap menarik dan akan diadakan secara langsung.

Oleh itu, sudah tentu akar umbi UMNO mahupun rakyat akan tertunggu-tunggu ucapan dari Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

“Ucapan Presiden kali ini sudah tentu agak menarik kerana kita akan berhadapan dengan Pilihan Raya Umum (PRU) 15. Sudah tentu Presiden mengajak seluruh ahli parti, masyarakat untuk bersama-sama membawa negara lebih makmur dan beri mandat kepada UMNO kerana UMNO ada pengalaman dan telah diterjemahkan dalam pemerintahan negara dalam pelbagai kemajmukan rakyat yang cukup baik.

“Kita juga boleh membawa usul di bahagian kerana UMNO adalah sebahagian dari kerajaan Perikatan Naional (PN). 22 bulan lalu kita adalah pembangkang dan usul tidak akan sampai ke kementerian,” katanya lagi.

Tambah beliau lagi, sekarang ini berbeza kerana UMNO adalah sebahagian dari kerajaan PN dan boleh mengutarakan usul-usul kepada kementerian yang berkaitan.

“Tapi hari ini kita perlu usulkan ke kementerian-kementerian yang berkaitan dan sebagainya. Maknanya… usul pun boleh kita utarakan dalam mesyuarat nanti supaya dijadikan dasar dan dasar ini akan menjadi bukti di akar umbi.

“Saya mendoakan agar persidangan sayap-sayap ini berjalan dengan lancar begitu juga diperingkat bahagian-bahagian. Semoga kita dapat memenuhi kehendak-kehendak parti dan mematuhi arahan yang telah ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” ujarnya. – UMNO Online

Oleh: Amin Adnan

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.