Penambahbaikan Parti, Fokus PRU15 Harus Dijadikan Agenda Persidangan – Hisham Suhaily

KUALA LUMPUR, 29 Dis – Exco Wanita UMNO Malaysia, Hisham Suhaily Othman berkata persidangan perwakilan bahagian adalah wadah bagi UMNO untuk mendengar teguran dan semangat dari akar umbi untuk penambahbaikan parti.

Seterusnya, ujar Ketua Wanita UMNO Bahagian Langkawi itu, ia mampu menyerap semangat ahli supaya fokus kepada kesepakatan dalam menempuh Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) nanti.

“Kalau boleh beri perwakilan berucap dan kita harus dengar untuk penambahbaikan parti kita. Teguran, semangat dan positif untuk kita ambil dan perbetulkan kelemahan.

“Jadikanlah wadah mesyuarat kita sebagai yang kita nanti-nantikan. Kita bawa suara keramat walaupun kuorum kurang tapi gelombang suasana dan ibarat seperti buih boleh menjadi alun, alun boleh menjadi ombak, gelombang boleh menjadi tsunami seluruh Malaysia akan menggegarkan kerana mesyuarat kita.

“Kita harapkan semua ahli UMNO dengan semangat baru dapat kita mengorak satu tapak kehadapan supaya semangat baru ini kita fokus kepada kesepakatan dan penyatuan supaya kita fokus pada PRU-15 yang akan tiba. Kita jadikan gelombang tsunami ini pada mesyuarat UMNO,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sesi Sembang Kopi ‘O’ – Norma Baharu Mesyuarat Perwakilan Sayap-sayap UMNO dan Perwakilan UMNO Bahagian Serta Perhimpunan Agung UMNO 2020 yang disiarkan secara langsung melalui Facebook Badan Perhubungan UMNO Negeri Kedah pagi tadi.

Dalam pada itu Suhaily mengharapkan jentera sentiasa siap-siaga bagi menghadapi PRU-15.

“Kita telah diberi ‘signal’ bahawa pilihan raya akan berlaku bila-bila masa. Kita kena berada dalam keadaan bersiap sedia. Apa-apa pun kita fokus dan siap siaga jentera dan ahli menjelang PRU-15.

“Sekarang ini ia menjadi ‘ting tong’, nak melabur pun takut. Kita ketepikan pemilihan UMNO, kita fokus pada PRU. Pentas kita kali dalam medan perwakilan adalah fokus kepada PRU-15 dan bagaimana kita hendak memantapkan parti kita, mengharumkan parti dan membuatkan rakyat sayang serta suka, yakin dan percaya kepada UMNO.

“Kita sudah belajar dari kesilapan yang dulu kerana nak jadi pemilihan parti dan kalah pada PRU-14. Kali ini kita kena buat dan perbaiki diri kita dan tumpu pada PRU-15 supaya rakyat mula yakin dan semua kerusi yang Barisan Nasional (BN) tanding nanti kita pastikan menang,’ tegasnya. – UMNO Online

Oleh: Amin Adnan

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.