Mesyuarat Perwakilan UMNO Wadah Perjuangan Perkasakan Muafakat Politik – Abdul Rahman

KUALA LUMPUR, 29 Dis – Seperti kelaziman setiap tahun, Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian, Wanita, Pemuda dan Puteri adalah saat yang ditunggu-tunggu oleh 191 buah bahagian di seluruh negara.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata ia adalah wadah untuk semua pendukung parti menyuarakan isi hati, aduan, cadangan, teguran dan sebagainya sama ada terhadap parti atau isu-isu semasa negara.

“Saya yakin suara akar umbi adalah suara keramat yang wajar didengari dan diberi perhatian kerana merekalah yang berjuang bersama kepimpinan UMNO selama ini. Mereka jugalah yang memahami denyut nadi, keperluan dan kesusahan dirasai rakyat.

“Kaedah yang digunapakai oleh UMNO sejak berkurun lama ini merupakan satu platform murni yang disulami dengan budi perkerti, susila, kesopanan dan jauh sekali mengamalkan budaya negatif,” ujar Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar I itu dalam satu kenyataan.

Tambahan pula kata Ahli Parlimen Lipis itu lagi, bagi tahun ini, akibat pandemik COVID-19, UMNO terpaksa menganjak dari kebiasaan di mana mesyuarat di peringkat bahagian beserta tiga sayap akan dilaksanakan selama tiga hari, bermula 1 Jan 2021.

“Kita juga terpaksa mengehadkan jumlah penyertaan, namun saya yakin roh perjuangan semua ahli tetap mekar dan sentiasa dirasai walau tanpa kehadiran anda semua di sisi.

“Saya teruja untuk mendengar pelbagai cadangan, aduan, komen dan isu yang akan dibangkitkan dalam mesyuarat ini. Bagi saya, ia satu kaedah yang baik untuk menyuburkan lagi amalan demokrasi parti kita. Namun, perlulah dengan penuh sopan santun dan menjaga tatasusila ketimuran kita,” ujarnya.

Justeru, Abdul Rahman berharap agar mesyuarat di peringkat ini akan menjadi ‘turning point’ untuk UMNO mencari solusi bagi memperkasakan lagi muafakat politik yang sedang dilakukan sekarang.

“Selagi mana muafakat ini dapat menguntungkan rakyat dan dapat menyekat pengaruh Dap, saya cukup berharap agar ia dapat dikukuhkan dan dimurnikan lagi.

“Kita tidak mahu maruah UMNO digadaikan. Dalam masa sama kita juga tidak mahu peristiwa hitam ‘pisang berbuah dua kali’ dengan Pakatan Harapan kembali memerintah.

“Justeru, ayuh semua teman-teman saya dalam UMNO, kita cari kaedah terbaik untuk kembalikan ‘sengat’ UMNO dan selamatkan rakyat dari rejim Dap.” Tegasnya.

Abdul Rahman juga berharap agar mesyuarat UMNO kali ini menyuburkan sifat berjiwa besar dalam kalangan semua ahli.

Untuk rekod, mesyuarat perwakilan bahagian empat peringkat tersebut akan bermula pada 1 Jan hingga 3 Jan 2021. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.