Junjung Kasih TMJ, ‘Shame On You’ Syed Saddiq – Pemuda BN Johor


JOHOR BAHRU, 29 Dis – Pergerakan Pemuda Barisan Nasional (BN) Johor merafak setinggi-tinggi tahniah dan menjunjung kasih ke atas Duli Yang Amat Mulia (DYAM) Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor yang merasmikan pecah tanah untuk pembinaan Tunku Mahkota Ismail Youth Centre (TMIYC) kedua di Muar, hari ini.

Kata Ketuanya, Mohd Hairi Md Shah, perasmian TMIYC Johor Bahru yang pertama pada 21 Dis lalu menjadi titik tolak dan dilihat sudah pun dimanfaatkan ramai belia tempatan untuk menjalankan kegiatan bermanfaat dan ini semua idea dan visi Tunku Ismail untuk memperkasakan pembangunan golongan belia dengan pembinaan sebuah Youth Center di setiap daerah di Johor.

“Kami yakin, perancangan dan pembinaan TMIYC di setiap daerah nanti bakal mengubah corak pembangunan belia di negeri ini secara total dan menjadikan sahsiah diri belia dapat dibentuk dengan lebih sistematik berdasarkan peranan dan visi TMIYC ini.

“Namun, disebalik kejayaan dan kebanggaan Bangsa Johor hari ini, ‘dicemari’ dengan dakwaan seorang individu yang bakal membotakkan kepalanya yang bernama Syed Saddiq, cuba mengeluarkan kenyataan seolah-olah ‘mengajuk’ kejayaan dibawa Tunku Ismail ini,” tegas Mohd Hairi yang juga Ketua Pergerakan Pemuda UMNO negeri dalam satu satu kenyataan.

Justeru kata Mohd Hairi, Pergerakan Pemuda BN Johor ingin mengingatkan Ahli Parlimen Muar itu supaya tidak membuat kenyataan yang menunjukkan kebodohan diri sendiri dan jalankan sahajalah tugas sebagai seorang wakil rakyat.

“Tunku Mahkota dan anda jauh jurang perbezaannya dan tidak layak anda membandingkan kerja dan tanggungjawab Baginda dengan anda.

“Tunku Mahkota yang menaungi belia di Johor bertanggungjawab terhadap belia seluruh Johor, anda pula 22 bulan bekerja di Kementerian Belia dan Sukan dahulu, apa yang anda lakukan? Jangan katakan seluruh Malaysia, di Johor pun tiada apa yang boleh dibanggakan!

“Jadi, fokus sahajalah pada cabaran membotakkan kepala anda dan biarkan kami di Johor ini merancang dan melaksanakan pelbagai inisiatif dan program bermanfaat bukan sahaja di Muar, malah seluruh pelusuk daerah di negeri ini,” ujarnya lagi.

Tambah Mohd Hairi, Pergerakan Pemuda BN Johor sekali lagi menjunjung kasih dan merafak setinggi-tinggi tahniah buat Tunku Ismail dan teruskan usaha Tunku untuk membangunkan belia di negeri ini tanpa mempedulikan ‘cakap-cakap’ kosong daripada pihak yang tidak berkepentingan ini. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.