Bersidang Dalam Suasana Baharu, Siap Siaga PRU15 – Ramlan

KUALA LUMPUR, 29 Dis – Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan, Datuk Ramlan Askolani berkata buat pertama kalinya mesyuarat perwakilan bahagian akan diadakan dalam suasana yang baharu ekoran pandemik COVID-19.

Jelas beliau, senario sebegini merupakan fenomena baru kepada akar umbi UMNO dan aktiviti norma baharu ini akan menjadi amalan biasa apabila setiap kali mengadakan mesyuarat bahagian.

“Pada saya… kita kena akur dan bersedia menghadapi norma baharu ini. Kita masih belum menang lagi dengan pandemik COVID-19 dan mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh kerajaan,” katanya kepada UMNO Online.

Dalam pada itu Ramlan mengharapkan agar ahli UMNO bersiap siaga untuk menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) ke 15 yang kemungkinan akan diadakan pada tahun hadapan.

“Saya berharap kepada semua akar umbi UMNO sama ada veteran-veteran UMNO, ahli-ahli jawatankuasa bahagian dan cawangan bersiap sedia dan kemungkinan kita akan menghadapi PRU-15 selewat-lewatnya bulan Jun 2021.

“Pada bulan Mei umat Islam akan meraikan Aidil Fitri dan bulan Julai secara ‘automatik’ anak-anak muda di bawah umur 18 tahun sudah boleh mengundi. Kita kena bersiap sedia dan tidak lama pun… jadi kita kena bersedia.

“Pada saya UMNO tetap relevan, kita kena terima apa jua tohmahan dan cacian dari mereka yang tidak menyukai UMNO, bagi saya mereka ini sakit hati pada UMNO,” ujarnya. – UMNO Online

Oleh: Amin Adnan

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.