Terjemahkan Kekuatan Parti Dalam Bentuk Gerak Kerja, Berkhidmat Kepada Rakyat – Ir Hasni


JOHOR BAHRU, 28 Dis – Menteri Besar Johor Datuk Ir Hasni Mohammad berkata UMNO perlu menterjemahkan kekuatan parti dalam bentuk gerak kerja iaitu berkhidmat kepada rakyat dan bukan hanya melaungkan kekuatan yang ada.

Menurut Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Johor itu, semua pendukung parti memikul satu amanah yang amat besar untuk memastikan UMNO terus menjadi parti yang utama.

“..dan untuk itu perlulah kita ini dilihat oleh masyarakat secara menyeluruh, menambah baik soal perkhidmatan kita, soal tanggungjawab kita kepada masyarakat perlulah lebih jelas, perlulah lebih mengutamakan rakyat.

“Jadi, rakyat tidak mahu melihat kita terus berpolitik sahaja sepanjang masa. Jadi kalau dikatakan tentang usaha kita untuk menguatkan parti ini ialah dengan cara kita berkhidmat kepada masyarakat.

“Kalau kita terjemahkan sebaik-baiknya kerajaan atau bantuan kerajaan, dasar-dasar kerajaan, program-program kerajaan dapat disampaikan kepada orang ramai, kita hulurkan kerjasama, bantuan sebagai parti penting dalam negeri Johor ini,” katanya kepada UMNO Online, ketika ditemui di kediaman rasminya di sini baru-baru ini.

Berhubung dengan penerimaan rakyat terhadap Bajet 2021 yang telah dibentangkan olehnya bulan lalu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Benut itu berkata apa yang penting kini adalah keberkesanan sistem penyampaian dan memastikan setiap perancangan yang dibuat dapat mencapai matlamatnya.

“Sepertimana di negeri lain termasuklah bajet yang dibentangkan di Parlimen dan mendapat kelulusan, yang pentingnya penyampaian bila dah diumum inisiatif-inisiatif dan juga perancangan yang dah dibuat itu, sekarang ini masanya supaya dapat memastikan bahawa apa yang dah dirancang itu dapat dicapai matlamat dan sasarannya.

“Dan apa yang kita janji perlulah dikotakan janji. Itu maksudnya banyak perkara perlu kita segerakan. Jadi sebaik sahaja kita masuk tahun baru ini, kerajaan negeri telahpun menyusun pendekatan-pendekatan yang terbaik untuk memastikan keberkesanan Bajet 2021.

“Itu yang saya berikan penekanan dan tumpuan sepenuhnya dengan menggemblengkan semua jabatan dan agensi supaya turut serta dalam menjayakan usaha bajet,” tambahnya. – UMNO ONLINE

Oleh: Zylan Mohamad

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.