“Jika Buat RCI TH, Bukan Pendeposit Yang Lari… Saya Bimbang Kekanda Dan PH Yang Lari,” Sinis Najib


KUALA LUMPUR, 28 Dis – “Jika buat RCI (Suruhanjaya Siasatan Diraja) TH (Tabung Haji), bukan pendeposit yang lari. Saya bimbang kekanda dan PH (Pakatan Harapan) yang lari.”

Demikian sinis Ahli Parlimen Pekan Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak dalam satu komen di dalam satu status Facebooknya kepada bekas Menteri Di Jabatan Perdana Menteri kerajaan PH Datuk Seri Dr Mujahid Yusuf Rawa; yang dikenali dengan panggilan kekanda ekoran suratnya kepada Ahli Parlimen Permatang Pauh Nurul Izzah Anwar satu ketika dahulu dengan membahasakan diri sebagai kekanda.

Dalam satu hantaran di platform media sosialnya itu, Najib berkata alasan Mujahid pada bulan Ogos lalu kenapa PH tidak tunai 10 janji 100 hari manifesto untuk RCI TH adalah kerana bimbang pendeposit lari adalah alasan yang paling lemah sekali.

Jelas Najib, ramai pendeposit sudah lari pada akhir tahun 2018 apabila PH membuat propaganda besar-besaran bahawa TH mengalami defisit RM4.1 bilion dan dalam keadaan bahaya kononnya Barisan Nasional (BN) terlebih bayar Hibah kepada pendeposit.

“Dan ramai lagi pendeposit lari apabila lihat kekanda tersenyum lebar semasa mengumumkan Hibah 1.25%. Realitinya ialah PH amat takut untuk membuat RCI TH sebab ianya akan mematahkan propaganda PH sekian lama terhadap BN.

“Dan PH amat takut sebab RCI itu akan membuktikan bahawa PH yang benar-benar jahanamkan TH apabila mereka buat propaganda makan diri yang membuat pendeposit lari dan TH terpaksa jual aset serta saham pegangan mereka dengan harga amat rendah pada ketika pasaran saham sudah menjunam selepas PRU14 (Pilihan Raya Umum 14).

“Sebab itu defisit kononnya RM4.1 bilion melonjak naik ke RM17.8 bilion masa PH,” katanya.

Tambah Najib yang juga Perdana Menteri Keenam, RCI juga akan menjawab mengapa tiada seorang pemimpin BN atau juruaudit/akauntan pernah didakwa dalam mahkamah oleh PH kononnya mencuri wang TH atau memalsukan akaun TH untuk menyorok defisit seperti didakwa propaganda PH.

“Dan sudah tentu RCI akan dedahkan bagaimana PH buat jahat untuk turunkan nilai aset TH untuk dijual secara lambak.

“Dan jika alasan untuk tidak tunaikan janji manifesto untuk buat RCI bagi Tabung Haji ialah bimbang pendeposit lari, apa alasan kenapa janji PH untuk RCI bagi FELDA, Mara dan 1MDB tidak ditunaikan pulak?

“Bimbang peneroka lari? Bimbang pelajar Mara lari? Bimbang Jho Low lari?,” sindir Najib lagi.

Berhubung dengan RCI TH juga, Najib menegaskan bahawa bukan BN yang tidak mahu ia dilaksanakan.

“BN dan saya dah berulang-kali tuntut dari zaman gagalkrasi PH sehingga zaman kerajaan PN (Perikatan Nasional) ini untuk membersihkan nama BN daripada tuduhan merapu PH berhubung Tabung Haji dan juga untuk membongkarkan kerosakan yang PH buat atas Tabung Haji.

“Entah berapa puluh kali kami tuntut RCI. Tapi masih tidak kesampaian,” komennya lagi dalam status Facebooknya itu, sambil melampirkan pautan berita pada Jun 2020 mengenai perkara terbabit (pautan). – UMNO ONLINE