Demi Kelancaran Mesyuarat, Persidangan Secara Maya Kaedah Terbaik Di Kawasan Zon Merah – Ahmad Maslan

KUALA LUMPUR, 28 Dis – Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata persidangan mesyuarat bahagian empat peringkat yang akan diadakan pada awal Januari tahun hadapan sebahagiannya akan dilakukan secara maya.

Jelas beliau, kaedah ini akan dilaksanakan di kawasan-kawasan zon merah terutama sekali yang terlibat di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

“Apa yang kita harapkan ialah persidangan yang sebahagian menggunakan maya ini hendaklah dijalankan dengan kaedah yang betul selain daripada untuk memastikan bahawa 764 mesyuarat di seluruh Malaysia berjalan dengan lancar.

“Ini adalah kali pertama kita membenarkan persidangan secara maya terutama di kawasan zon merah, di kawasan PKP, PKPB dan PKPD dan ini adalah kali pertama,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada UMNO-Online selepas mengadakan Taklimat Bersama Setiausaha UMNO Negeri dan Bahagian di Dewan Tun Hussein Onn, di sini hari ini.

Ahmad yang juga Ahli Parlimen Pontian turut menjelaskan bahawa kaedah ini adalah kaedah yang terbaik dan berharap ia berjalan dengan lancar.

“Tujuannya adalah untuk memastikan persidangan pada 1, 2 dan 3 Januari berjalan lancar selain kita ingin memaklumkan mengenai Perhimpunan Agung UMNO (PAU) akan diadakan pada 30 dan 31 Januari,” ujarnya.

Terdahulu, Ahmad Maslan memaklumkan bahawa pada tarikh berkenaan mesyuarat tersebut melibatkan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian, Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO.

Ujarnya, ia akan diadakan secara serentak di 191 Bahagian dan akan dirasmikan oleh Ketua UMNO Bahagian masing-masing. – UMNO Online

Oleh: Amin Adnan

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.