BN Perlu Berani Berubah, Lebih Terbuka – Pemuda UMNO Johor

 

KUALA LUMPUR, 28 Dis – Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Johor menyokong dan menyambut baik saranan Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamad Hasan supaya BN membina kekuatan baharu termasuk menerima penyertaan beberapa parti politik yang sebelum ini menjadi rakan parti.

Ketuanya, Mohd Hairi Mad Shah menjelaskan Mohamad Hasan atau lebih dikenali sebagai Tok Mat memaklumkan BN tidak lagi boleh bersifat eksklusif dan beliau secara peribadi berpendapat penglibatan lebih banyak parti akan menambah kekuatan kepada BN.

“Itulah yang perlu dilakukan oleh BN sejak Pilihan Raya Umum (PRU) 14 iaitu menambah kekuatan baharu. BN tidak boleh kekal di takuk lama kerana persaingan bagi menghadapi PRU-15 pasti lebih mencabar.

“Perubahan secara total perlu dilakukan BN demi memastikan parti kembali dapat diterima rakyat dengan kekuatan baharu yang lebih mantap dan tersusun bagi mentadbir negara tercinta ini.

“Apa yang penting, kita perlu membina dan meningkatkan kembali kepercayaan rakyat dan buktikan kepada rakyat bahawa BN adalah sebuah parti yang inklusif bukan eksklusif,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah Hairi lagi, segala amalan dan sikap sebelum ini perlu diubah suai, apa dasar-dasar dan asas BN perlu dikaji semula supaya yang penting dua hala tuju yang perlu kita buat iaitu perkasakan parti dan susun strategi untk menang PRU-15.

Kata beliau lagi, tsunami politik yang berlaku pada PRU-14 lalu perlu menginsafkan UMNO dan BN.

“Sejak dari PRU-14, sewajarnya BN perlu berubah demi memastikan parti kembali dapat diterima oleh rakyat pelbagai kaum di negara ini.

“BN perlu keluar dari gerak kerja biasa sehingga dilihat orang luar terlalu eksklusif sehingga menyebabkan kekalahan parti dalam PRU lalu,” katanya lagi.

Sementara itu, beliau turut bersetuju kenyataan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki mengenai isu ‘Kartel Daging Import’, biar siapapun terlibat dan apa pangkatnya, mereka tidak boleh dilindungi dan pihak bertanggungjawab perlu dibawa ke muka pengadilan.

“Isu berkenaan telah memberikan keraguan umat Islam terhadap status halal daging import yang berada dalam pasaran ketika ini.

“Isu ini juga perlu diselesaikan secara tuntas oleh pihak berwajib kerana ia membabitkan soal maruah dan makanan halal umat Islam. Ia melihatkan maruah umat Islam,” ujarnya.

Penyelesaian secara bermaruah perlu dilakukan bagi mengelakkan sebarang spekulasi negatif terhadap pihak berkenaan dan menjamin daging yang dijual tidak diragui status halalnya, tegasnya. – UMNO Online

Oleh: Amin Adnan

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.