UMNO Rakam Takziah Kepada Keluarga Allahyarham Tan Sri Mohamad Aziz

KUALA LUMPUR, 25 Dis – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bersama seluruh kepimpinan UMNO merakamkan ucapan takziah kepada keluarga bekas Timbalan Pengerusi Tetap UMNO, Tan Sri Mohamad Aziz yang meninggal dunia di Hospital Sultan Ismail, Johor malam tadi.

Kata Zahid, beliau kehilangan seorang sahabat yang rapat dan baik.

“Saya mendapat berita yang mengejutkan pemergian mantan Timbalan Pengerusi Tetap UMNO, Tan Sri Mohamad Aziz ke rahmatullah. Salam takziah kepada keluarga Allahyarham, semoga tabah menerima ujian ini,” katanya.

Allahyarham dilantik sebagai Timbalan Pengerusi Tetap UMNO bagi tempoh 2009 hingga 2017 dan menjadi Ketua Bahagian UMNO Bahagian Sri Gading.

Terdahulu Allahyarham juga pernah dilantik sebagai Speaker DUN Johor dari 2013 hingga 2018 dan pernah dipilih sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri Parit Yaani serta Ahli Parlimen Sri Gading dari 1986 hingga 2013.

Jenazah dikhabarkan akan dikebumikan pada 9.30 pagi ini di Tanah Perkuburan Islam Bukit Aliff, Johor Bahru.

Semoga roh Allahyarham ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman. Al-Fatihah. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.