Tahniah Kerajaan Pahang, Tegas & Bijaksana Tangani Isu Tanah Haram Raub


KUALA LUMPUR, 23 Dis – Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia ingin merakamkan ucapan tahniah kepada Kerajaan Negeri Pahang di bawah kepimpinan Menteri Besar (MB) Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail atas kejayaan mengenepikan semua hujahan yang dibuat oleh pihak penceroboh tanah haram di Raub sehingga memungkinkan keputusan mahkamah menolak semakan penghakiman yang dibuat pihak penceroboh.

Menurut Ketuanya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, sejak dari awal kepimpinan Wan Rosdy, Kerajaan Pahang tampak tegas dan penuh bijaksana mengambil tindakan terhadap peneroka tanah-tanah haram yang bermula di Sungai Ichat Cameron Highlands dan kemudiannya Raub tanpa rasa cuak ‘without fear or favour’.

“Walaupun banyak pihak cuba memfitnah, mentohmah bahkan ada segelintir yang meremehkan segala usaha bersepadu Kerajaan Negeri Pahang, namun kepimpinan MB tidak mudah gusar bahkan tegas mengambil tindakan mengikut segala lunas undang-undang termasuk berdepan gertakan perundangan melalui mahkamah oleh mereka berkepentingan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Tambah Dr Asyraf, keputusan mahkamah hari ini juga jelas membuktikan bahawa kebijaksanaan dan ketegasan kerajaan negeri tidak sesekali membelakangi undang-undang, jauh sekali berniat menzalimi mana-mana pihak tanpa mengira kaum dan agama.

Ulasnya juga, Pemuda UMNO berpendirian usaha murni Kerajaan Pahang itu wajar diteladani oleh negeri-negeri lain dan berharap tindakan bersepadu untuk mengekang fenomena penerokaan dan pencerobohan tanah haram ini dapat diteruskan demi kepentingan dan masa depan rakyat itu. – UMNO ONLINE

.

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.