Rebat 2 Sen/kWj Bagi Setiap Pengguna Eletrik Pada 2021 – Dr Shamsul Anuar

KUALA LUMPUR, 23 Dis – Pengguna domestik dan industri akan menikmati rebat elektrik sebanyak dua sen/kWj bermula 1 Jan hingga 30 Jun 2021, demikian diumumkan Menteri Tenaga dan Sumber Asli Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah.

Beliau berkata dengan pemberian rebat ini, seramai 7.5 juta pengguna domestik akan mengalami penurunan bil elektrik antara 3.6 peratus dan 9.2 peratus manakala pengguna komersial pula akan mengalami penurunan bil antara 4.0 peratus dan 5.2 peratus.

Katanya bil elektrik untuk pengguna industri akan menurun antara 4.6 peratus dan 6.1 peratus.

Shamsul Anuar berkata kerajaan bersetuju untuk mengekalkan purata tarif asas Tenaga Nasional Bhd (TNB) pada kadar 39.45 sen/kWj bagi tahun 2021.

“Rebat yang kali pertama dinikmati sejak Julai tahun 2018 ini akan dinikmati oleh semua pengguna elektrik TNB, domestik dan bukan domestik.

“Langkah ini diambil berikutan keputusan kerajaan untuk melanjutkan tempoh Regulatori Kedua TNB di bawah mekanisme Peraturan Berasaskan Insentif (IBR) sehingga 31 Dis 2021,” katanya semasa mengumumkan kadar tariff elektrik baharu bagi tahun depan di sini hari ini.

Katanya kerajaan juga bersetuju untuk melepaskan penjimatan kos bahan api kepada semua pengguna TNB berikutan penurunan harga bahan api arang batu dan gas pada separuh kedua tahun 2020.

Ini selaras dengan pelaksanaan mekanisme Pelepasan Kos Tidak Seimbang (ICPT) bagi tempoh 1 Jan – 30 Jun 2021.

“Kerajaaan berharap pemberian rebat ini dapat membantu meringankan kos sara hidup rakyat serta menurunkan kos menjalankan perniagaan yang terkesan berikutan penularan pandemik COVID-19,” katanya. – BERNAMA