Isu Tanah Haram Raub: Kebenaran Terbukti, Beri Kepercayaan Penuh Kepada Kerajaan Negeri

KUALA LUMPUR, 23 Dis – Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Pahang hari ini menzahirkan rasa syukur ke hadrat Allah atas keputusan mahkamah yang menolak permohonan semakan penghakiman oleh sekumpulan penceroboh tanah haram di Raub terhadap notis pengusiran yang telah dikeluarkan kerajaan negeri sebelum ini.

Ketuanya, Mohd Farid Mohd Noor juga ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada Peguam Kanan Persekutuan, Noor Fadzilla Ishak, selaku peguam yang mewakili kerajaan negeri serta lima yang lain selaku responden atas kejayaan mengenepikan semua hujahan yang dibuat oleh pihak penceroboh.

“Kami yakin bahawa keputusan akan memihak kepada Kerajaan Negeri Pahang memandangkan ianya merupakan satu ‘straight foward case’, sepertimana ketika kerajaan mengambil tindakan terhadap peneroka tanah haram di Sungai Ichat Cameron Highlands setahun sebelum itu.

“Kami berpandangan adalah wajar proses undang-undang dihormati agar keputusan yang adil dicapai. Pemuda Pahang juga menzahirkan ucapan tahniah kepada Kerajaan Negeri Pahang, khususnya Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail atas keputusan ini,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Jelas Farid, sejak tindakan dimulakan bagi menuntut hak kerajaan negeri ke atas tanah-tanah tersebut, menteri besar dan kerajaan pimpinannya diserang, ditohmah dan difitnah bertalu-talu oleh beberapa pihak dengan gambaran yang diberi seolah-olah kerajaan negeri takut dan berlembut dengan peneroka tanah haram terbabit.

“Serangan, tohmahan dan fitnah ini hanya bersandarkan tajuk berita di media sama ada media massa atau sosial, yang diputar belit dari kenyataan rasmi kerajaan negeri mahupun menteri besar,” katanya.

Tambah Farid, peristiwa pemenjaraan peneroka tanah haram di negeri lain yang tiada kena mengena dengan negeri Pahang pula dilaungkan.

“Satu cubaan mempamerkan imej kerajaan negeri yang seolah berat sebelah serta zalim terhadap sesuatu kumpulan tetapi berlembut dengan kumpulan yang lain, sedangkan di Pahang kebanyakkan kes hanyalah melibatkan denda dan sitaan tanpa mengira bangsa dan warna kulit penceroboh. Manakala kes-kes mahkamah yang dibawa mereka semuanya berakhir dengan kekalahan.

“Hari ini kebenaran telah terbukti, proses undang-undang walaupun tidak disenangi dan disangsikan ramai pihak dipatuhi, serta yang paling penting kerajaan tidak berlaku zalim kepada sesiapa,” katanya lagi.

Pemuda UMNO Negeri juga berharap agar tiada pihak dituduh sewenang-wenang dan difitnah dalam isu tersebut, rundingan dan proses perundangan telah lama dilaksanakan dan pimpinan hari ini memuktamadkan segalanya, ujarnya.

Oleh itu, ujar Farid lagi, akan ada lagi tindakan seperti ini bakal menyusul di beberapa lokasi di Negeri Pahang pada masa akan datang,

“Pemuda UMNO Negeri menyeru supaya Rakyat Pahang terus memberikan sokongan dan memberi kepercayaan penuh kepada pimpinan negeri untuk mengambil tindakan. Terima kasih jua mahkamah atas keputusan hari ini,” tegasnya . – UMNO Online

Oleh: Amin Adnan