GST: Sendiri Yang Hapus, Sendiri Yang Rindu? Soal Dr Najmil

KUALA LUMPUR, 22 Dis – “Sendiri yang hapus, sendiri yang rindu?

Demikian persoalan yang ditimbulkan oleh Exco Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr Najmil Faiz Mohamed Aris, mempertikaikan kredibiliti Pakatan Harapan (PH) yang tidak konsisten terhadap Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang diperkenalkan dahulu oleh kerajaaan Barisan Nasional (BN).

Sinisnya, kadang-kadang tidak masuk akal lihat pendirian pembangkang di Malaysia ini.

“Dulu mereka tuduh GST kejam dan zalim hingga rakyat percaya penipuan mereka. Menteri Kewayangan PH juga kata kerajaan BN merompak duit GST. Pelbagai fitnah berkenaan GST dilemparkan pada BN hingga rakyat membenci kerajaan BN.

“Faktanya, GST penting untuk meningkatkan hasil kerajaan yang akan memberi manfaat yang banyak kepada rakyat. Dari rakyat kepada rakyat. Itulah yang kerajaan BN lakukan,” katanya dalam satu catatan di Facebook, hari ini.

Tambah Dr Najmil lagi, kutipan hasil GST ini dapat membantu rakyat serta meningkatkan pertumbuhan ekonomi negara.

“Tanpa kutipan GST adalah sukar untuk kita bantu rakyat melalui BR1M (Bantuan Rakyat 1 Malaysia), membina Klinik 1Malaysia, memperbanyakkan Rumah Rakyat 1Malaysia dan pelbagai lagi inisiatif kerajaan.

“Lebih 160 negara telah menyeragamkan cukai mereka dengan sistem GST untuk ke arah negara berpendapatan tinggi. Ini membuktikan BN pandai mentadbir negara, PH pandai menjahanamkan negara,” bidasnya lagi.

Terdahulu, dalam satu kenyataan Ahli Parlimen Tebrau, Steven Choong Shiau Yoon menyatakan GST harus dilaksanakan kerana merupakan satu sistem yang telus dan pihak tidak boleh lari daripada membayar cukai di samping akan menambah pendapatan negara dengan lebih tinggi berbanding cukai jualan dan perkhidmatan (SST). – UMNO Online

Oleh: Amin Adnan

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.