Tiada Pemotongan Elektrik Bagi Pengguna Domestik Ada Tunggakan Enam Bulan – Shamsul Anuar

PUTRAJAYA, 21 Dis – Bekalan elektrik di premis pengguna domestik di Semenanjung dan Sabah yang mempunyai tunggakan kurang daripada enam bulan tidak akan dipotong sepanjang tempoh 1 Jan hingga 31 Mac 2021, umum Menteri Tenaga dan Sumber Asli Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah hari ini.

Beliau berkata inisiatif itu hasil kerjasama dan persetujuan Tenaga Nasional Bhd (TNB) dan Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) yang bakal memberi manfaat kepada 6.94 juta pengguna domestik di Semenanjung dan 500,000 pengguna domestik di Sabah yang layak.

“Kategori pengguna ini akan diberi kemudahan untuk membuat pembayaran secara ansuran selama enam bulan mulai 1 Jan hingga 30 Jun 2021,” katanya pada sidang media selepas menghadiri majlis perhimpunan Kementerian Tenaga dan Sumber Asli, di sini hari ini.

Shamsul Anuar berkata pengguna yang mempunyai tunggakan melebihi enam bulan pula boleh berunding dengan pihak TNB dan SESB untuk membuat pembayaran secara ansuran bagi mengelakkan pemotongan bekalan elektrik.

“Kita faham kesan kepada TNB tapi kita juga faham apa yang sedang dihadapi rakyat. Maknanya kita mengambil jalan tengah untuk menjaga kewangan di TNB dan melihat keperluan dan kepentingan rakyat,” katanya.

Beliau berkata kementerian juga akan meminta pihak TNB untuk mengaktifkan kaunter-kaunter di kedai tenaga bagi membolehkan rakyat berurusan dengan mudah.

Shamsul Anuar berkata ia merupakan inisiatif tambahan untuk rakyat yang menghadapi kesukaran dari segi kewangan kesan daripada pandemik COVID-19.

Setakat 31 Oktober lepas, kira-kira 7.66 juta pengguna domestik di Semenanjung menikmati diskaun bil elektrik di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) dan Bantuan Prihatin Elektrik (BPE), melibatkan peruntukan berjumlah RM1.9 bilion, katanya.

Pakej PRIHATIN dan BPE dilaksanakan oleh kerajaan untuk membantu mengurangkan bil elektrik rakyat terutamanya pengguna domestik berikutan penularan pandemik COVID-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Bagi mengurangkan beban peningkatan bil elektrik sepanjang tempoh PKP, pakej BPE tambahan telah diberikan kepada semua pengguna domestik di Semenanjung iaitu diskaun secara one-off sehingga RM77 sebulan atau RM231 untuk tempoh tiga bulan pelaksanaan PKP, iaitu bagi penggunaan elektrik dalam bulan April, Mei dan Jun 2020. – BERNAMA