Inisiatif Pembiayaan Lain Perlu Untuk Percepat Pembinaan Lebuhraya Pan Borneo Sabah – Bung Moktar

KOTA KINABALU, 21 Dis – Keseluruhan 35 pakej fasa 1 Lebuhraya Pan Borneo (LPB), melalui unjuran yang dibuat oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah, dijangka hanya akan siap pada 2040 sekiranya kerajaan tidak mencari inisiatif pembiayaan lain untuk mendapatkan peruntukan.

Timbalan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata berdasarkan kepada pengumuman Belanjawan 2021 oleh Kementerian Kewangan dan trend semasa, didapati hanya satu pakej daripada baki 20 pakej fasa 1 LPB diluluskan pada tahun 2021.

Bung Moktar yang juga Menteri Kerja Raya Sabah berkata melalui unjuran yang dibuat, JKR negeri juga menjangkakan hanya lima hingga enam pakej sahaja dapat dilaksanakan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) dan hanya dapat menyiapkan 21 daripada 35 pakej sehingga tahun 2028.

“Kini, pelaksanaan LPB bergantung sepenuhnya kepada Perbelanjaan Pembangunan (DE) dan projek berkenaan dilaksanakan oleh JKR Sabah. Pemberian peruntukan berkenaan adalah berbeza seperti sebelum ini iaitu projek fasa 1 LPB dilaksanakan melalui Konsep Project Delivery Partner (PDP) iaitu menyiapkan projek dengan kos dan masa yang ditetapkan.

“Namun, konsep PDP ini telah ditamatkan pada 21 Sept 2019,” katanya menjawab soalan daripada Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak (BN-Usukan) mengenai status terkini projek LPB khususnya di kawasan Kota Belud, pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, hari ini.

Bung Moktar berkata sekiranya pembinaan LPB bergantung kepada peruntukan melalui DE maka pembinaannya memakan masa yang sangat lama.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan agar kerajaan Persekutuan membenarkan kerajaan Sabah melaksanakan projek LPB secara Inisiatif Pembiayaan Swasta (PFI).

“Saya yakin projek LPB dapat dipercepatkan sekiranya kita menggunakan inisiatif PFI dan saya akan mengadakan perbincangan dengan beberapa syarikat tempatan pada awal tahun hadapan mengenai perkara berkenaan,” katanya.

Projek LPB Sabah dilaksanakan secara berperingkat melalui tiga fasa pelaksanaan dan fasa pertama meliputi pembinaan lebuh raya sepanjang 706 kilometer yang merangkumi 35 pakej dengan kos sebanyak RM15.272 bilion. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.