Bukan Hanya Lulus Bajet 2021, BN Terbukti Jadi Tunjang Wujudnya Kerajaan PN – Shahril

ALOR GAJAH, 20 Dis – Khamis lalu sidang Parlimen telah melabuhkan tirai persidangannya yang menyaksikan 10 usul Kerajaan Perikatan Nasional (PN) termasuklah belanjawan pertamanya diluluskan dengan sokongan ahli-ahli Parlimen PN termasuklah Barisan Nasonal (BN).

Berhubung hal ini, Ketua Penerangan UMNO, Shahril Hamdan menekankan bahawa BN bukan hanya sebahagian besar yang meluluskan bajet tetapi dari awal lagi ahli-ahli Parlimen BN telah membolehkan kerajaan hari ini wujud.

“Jika tidak didukungi oleh ahli-ahli Parlimen BN yang mendapat arahan dari Presiden UMNO dan Pengerusi BN maka kerajaan ini tak akan wujud dan soal bajet itu juga samalah… kesinambungan daripada kedudukan UMNO/BN yang cukup penting sebagai tunjang kepada kerajaan hari ini walaupun kita tidak mengemudinya.

“Itu yang saya tekankan beberapa kali keikhlasan dan kejujuran UMNO tidak boleh dipertikaikan jadi kalau ada permintaan-permintaan dan permohonan kita yang wajar maka kita harap kepimpinan kerajaan juga akan melihat perkara itu,” katanya.

Shahril yang juga Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO berkata demikian selepas program Sembang Santai Isu Semasa bersama Pemuda UMNO Bahagian Alor Gajah, semalam.

Terdahulu dalam ucapannya beliau meminta anggota akar umbi untuk meneruskan gerak kerja dan memperkukuh akar umbi di kawasan masing-masing sebagai persediaan berdepan Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15.

“Dinamika politik kini dah berbeza kerana setiap program yang dilaksana tidak cukup hanya melibatkan ahli-ahli kita sahaja sebaliknya penerangan juga mesti berorientasikan rakyat,” katanya.

Ujarnya, penerangan dan penjelasan ke akar umbi perlu dibuat khususnya bagaimana peranan pemimpin dan ahli-ahli Parlimen BN dalam kerajaan PN misalnya dalam menangani COVID-19.

“Memang kita tidak menjadi nakhoda kepada kerajaan hari ini tetapi peranan menteri-menteri BN dalam PN tidak boleh dinafikan misalnya Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin yang membina hubungan antarabangsa.

“Contohnya peranan Menteri Kesihatan, Datuk Dr Adham yang juga dari BN dalam membuat pelbagai keputusan berkaitan hal-hal kesihatan, juga Menteri Sains Teknologi, YB Khairy yang semuanya jika dirangkumkan berusaha bagi mendapatkan vaksin agar negara kita menjadi antara negara yang awal menerima vaksin COVID-19.

“Ramai lagi pemimpin-pemimpin BN dalam PN dan di luar dari kerajaan juga yang memainkan peranan dan kesemuanya adalah untuk kesejahteraan rakyat keseluruhan,” katanya.

Jelasnya lagi, dalam keadaan pemimpin parti mencari solusi untuk keputusan akhir maka anggota akar umbi perlu terus bersedia untuk PRU-15. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.