Sertai Majlis Presiden Tak Bermakna Masuk PN, UMNO Tetap Pendirian Asal – Shahril

ALOR GAJAH, 19 Dis – Ketua Penerangan UMNO, Shahril Hamdan memaklumkan bahawa penubuhan Majlis Presiden yang turut disertai UMNO bukan bermakna parti ini menyertai Perikatan Nasional (PN).

Terangnya, Majlis Presiden ini ideanya adalah datang daripada UMNO dengan tujuan untuk mengumpulkan pemimpin-pemimpin atasan parti-parti yang ada dalam kerajaan.

“Asalnya idea ini datang dari UMNO dan patutnya awal-awal lagi dah dibuat jadi persoalan tidak timbul sama ada UMNO dalam Muafakat Nasional (MN) atau PN kerana kita dalam UMNO tetap dengan keputusan tidak menjadi anggota kompenan PN.

“Tetapi disebabkan ada menteri datang daripada UMNO dan disebabkan ahli-ahli Parlimen UMNO yang menyokong kerajaan pada hari ini maka wajarlah Presiden kita ada dalam majlis paling tinggi untuk membuat keputusan-keputusan dalam dasar tertentu namun ia tidak bermaksud bahawa kita sudah menjadi anggota PN, jauh sekali dari itu,” ujarnya.

Shahril yang juga Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO berkata demikian selepas program Sembang Isu Semasa bersama Pemuda UMNO Bahagian Alor Gajah, di sini, hari ini.

Shahril juga menekankan bahawa UMNO akan melaksanakan apa-apa keputusan yang terbaik bukan sahaja kepada parti tetapi juga kepada rakyat.

“Presiden sudah keluarkan kenyataan beberapa kali yang mengatakan pentingnya kejujuran dan keikhlasan dalam persahabatan. Bagi saya tafsiran untuk akar umbi dan rakyat adalah UMNO akan melaksanakan keputusan yang terbaik untuk rakyat dan yang terbaik untuk parti disebabkan UMNO adalah yang terbaik dalam memperjuangkan isu dan agenda rakyat malah dalam belanjawan tempohari pun itu ternyata dizahirkan.

“Jadi bagi saya setakat hari ini UMNO kekal dengan pendirian yang mendukung kerajaan PN.

“Untuk keputusan akhir selepas-selepas itu ataupun selebih-selebihnya selagi permintaan atau permohonan UMNO yang rasional saya rasa tidak ada masalah… cuma kita minta akar umbi beri masa sedikit kepada kepimpinan parti. Kita nak berkawan dengan ikhlas dan jujur dan kita harap yang lain pun sama,” ujarnya lagi.

Dilaporkan, Khamis lalu, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi turut menyertai mesyuarat Majlis Presiden yang turut dihadiri oleh ketua-ketua parti masing-masing dalam PN. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.