Persidangan Belanjawan Perak 2021 Paling Aman, Berobjektif Dan Konstruktif – Saarani

KUALA LUMPUR, 19 Dis – Menteri Besar Perak, Datuk Saarani Mohamad menyifatkan perjalanan perbahasan Belanjawan Perak 2021 berlangsung dalam keadaan tenang manakala isu-isu yang dibangkitkan bersifat objektif dan diselitkan dengan idea-idea yang konstruktif.

Pengerusi UMNO Negeri itu percaya, ia adalah manifestasi kepada keinginan setiap wakil rakyat sama ada di sebelah kerajaan dan pembangkang untuk melihat belanjawan tahun hadapan memberi jawapan kepada keluh-kesah rakyat serta mengembalikan pacuan ekonomi negeri ke landasannya.

“Belanjawan ini sangat penting kerana ia merangkumkan pelbagai langkah dan inisiatif kerajaan untuk menjana semula ekonomi dan memulihkan kesejahteraan rakyat yang kini sedang diuji dengan hambatan pandemik COVID-19.

“Besar harapan saya agar persefahaman sebegini akan menjadi titik mula kepada kematangan kita berpolitik.

“Kita boleh membuktikan bahawa wakil-wakil rakyat mampu membina batas-batas dalam berpolitik dengan meletakkan kepentingan rakyat merentasi garis politik kepartian,” katanya dalam satu catatan di Facebook yang turut bersyukur persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi pembentangan dan perbahasan Belanjawan Perak 2021 berakhir Jumaat.

Ulasnya, dari hari pembentangan belanjawan, diikuti perbahasan dan pengundian di peringkat jawatankuasa, semuanya berjalan tenang dan tertib.

“Bagi saya, ini mungkin persidangan belanjawan paling aman pernah saya lihat sejak lima penggal menjadi wakil rakyat,” ujar Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Tampan itu lagi.

Justeru katanya, rakyat akan lebih menyanjung dan menghormati wakil rakyat jika meletakkan niat yang baik, terbuka, jujur dan ikhlas dalam memperjuangkan nasib mereka. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.