Terus Melangkah… Mengaku Tidak Bersalah, Nafi Terima Cek – Ahmad Maslan

KUALA LUMPUR, 18 Dis – Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan menegaskan bahawa beliau akan terus mengaku tidak bersalah sebagaimana telah melakukan sumpah laknat menafikan menerima cek.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Pontian adalah antara pemimpin UMNO yang dihadapkan ke mahkamah ketika pentadbiran Pakatan Harapan (PH) dengan pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM2 juta yang diterima daripada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menerusi sekeping cek.

“Terus melangkah, mengaku tidak bersalah. Hari ini mahkamah memutuskan bicara saya pada Julai 2021. Saya telah bersumpah laknat menafi terima cek yang dikaitkan itu pada 29 Februari 2020. Itu pendirian saya. Sehingga akhir hayat,” katanya.

Menerusi prosiding hari ini, pendakwaan memohon tarikh bicara baharu ditetapkan berikutan timbalan pendakwa raya dan pegawai penyiasat kes tersebut telah dikuarantin kerana mempunyai kontak rapat dengan pesakit COVID-19.

Sepatutnya tarikh bicara seterusnya ialah pada 24 Dis namun Hakim Ahmad Kamar Jamaludin menetapkan tarikh perbicaraan pada 5 hingga 8; 12 hingga 15 dan 26 hingga 29 Julai tahun depan. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.