KWSP Oh KWSP: Kenapa Susah Sangat Kerajaan Untuk ‘Mengembirakan Rakyat’?

KUALA LUMPUR, 18 Dis – Setelah diasak dari pelbagai penjuru, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) masih berdolak dalih dalam kenyataan mereka tentang pengeluaran wang caruman KWSP oleh para pencarum.

Sehubungan itu, Ketua Pergerakan Puteri UMNO, Datuk Zahida Zarik Khan mempersoalkan kenapa susah sangat kerajaan membuat sesuatu untuk ‘mengembirakan rakyat’.

Katanya, UMNO/Barisan Nasional hanya meletak dua syarat dalam pengeluaran ini, iaitu pihak KWSP harus meluluskan pengeluaran sekali gus dengan jumlah maksima sebanyak RM10,000 dan kedua, semua pencarum yang ingin membuat pengeluaran ini adalah layak secara aotomatik.

“Setakat ini KWSP tidak mengeluarkan kenyataan secara jelas bahawa tuntutan di atas di luluskan, sebaliknya KWSP memberi penerangan yang panjang lebar berjela-jela melebihi 2,000 perkataan,” katanya dalam kenyataan menerusi laman facebooknya berkaitan isu ini.

Tegasnya, rakyat atau para pencarum hanya ingin mengetahui, adakah permintaan ini diluluskan atau dibenarkan?

“Ini adalah sangat jelas tetapi KWSP masih memberi jawapan yang penuh ketidakpastian.

“Kami, mendesak kerajaan memberi dengan jelas jawapan mereka, bukan lagi ‘kebanyakan pencarum dibenarkan mengeluarkan’ dan ‘pengeluaran pertama sehingga RM6,000 dibenarkan’,” katanya lagi.

Terdahulu, kerajaan menerusi Belanjawan 2021 telah mengumumkan pengenalan program i-Sinar iaitu kemudahan akses ke Akaun 1 KWSP yang dibuat bagi meringankan beban aliran tunai serta memenuhi keperluan rakyat dalam menghadapi cabaran semasa akibat pandemik COVID-19.
Namun demikian, skim i-Sinar ini telah mendapat kecaman dari pelbagai pihak dan dianggap menyusahkan kerana pelbagai syarat yang ditetapkan selain tidak menyeluruh kepada semua pencarum.

Walaupun kemudiannya kerajaan telah membuat pengumuman bahawa i-Sinar kini dibuka dan diperluaskan kepada kesemua lapan juta pencarum KWSP yang terjejas, dengan jumlah pengeluaran maksimum meningkat kepada RM10,000, tetapi masih ada kriteria atau syarat yang ditetapkan untuk kelulusan. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.