10 Rang Undang-undang Lulus Di Parlimen, Bukti Tolak Kemunculan Semula PH – Annuar

KUALA LUMPUR, 18 Dis – Persidangan Dewan Rakyat, Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Parlimen ke-14 telah berakhir semalam yang menyaksikan usul Kerajaan Perikatan Nasional (PN) termasuklah belanjawan pertamanya diluluskan walaupun berdepan pelbagai halangan.

Dalam hal ini, Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Tan Sri Annuar Musa menganggap bahawa ia jelas majoriti tidak bermakna rapuh sebaliknya PN menolak kemunculan semula Pakatan Harapan (PH).

“10 Rang Undang-undang yang melalui proses berpuluh kali undian, termasuk undi belah bahagian semuanya memberi kemenangan kepada kerajaan PN. Jelas majoriti tidak bermakna ia rapuh sebaliknya PN solid mendokong muafakat dan menolak kemunculan semula PH pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim-DAP,” katanya ringkas melalui ciapan di Twitternya hari ini.

Dalam persidangan Dewan Rakyat kali ini, Belanjawan 2021 diluluskan melalui undi belah bahagian yang menyaksikan 111 Ahli Parlimen bersetuju, 108 tidak bersetuju dan seorang tidak hadir.

Sebelum itu, semasa di peringkat dasar lagi terdapat cubaan untuk menggagalkan namun diluluskan dengan suara majoriti, selepas permohonan beberapa Ahli Parlimen pembangkang untuk undi belah bahagian tidak berjaya apabila hanya 13 Ahli Parlimen yang bangun, kurang daripada jumlah diperlukan iaitu 15 orang.

Di peringkat jawatankuasa pula, sembilan daripada 27 kementerian melalui proses undi belah bahagian sebelum diluluskan.

Persidangan turut meluluskan sembilan rang undang-undang lain iaitu Kewangan 2020; Kastam (Pindaan) 2020; Eksais (Pindaan) 2020; Zon Bebas (Pindaan) 2020; Langkah-Langkah Sementara bagi Pembiayaan Kerajaan (Penyakit Koronavirus 2019 (COVID-19)) (Pindaan) 2020; Cukai Jualan (Pindaan) 2020; Cukai Perkhidmatan (Pindaan) 2020; Cukai Pelancongan (PIndaan) 2020 dan Koperasi (Pindaan) 2020. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.