Sokong Bajet 2021 Bukti BN Sentiasa Dahulukan Rakyat – Ismail Sabri
KUALA LUMPUR, 17 Dis – Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Rang Undang-undang (RUU) Perbekalan 2021 yang lulus di peringkat dasar baru-baru ini adalah bukti UMNO dan Barisan Nasional (BN) benar-benar telus dan jujur dalam memperjuangkan nasib dan kepentingan rakyat.
Kerana itulah, katanya, UMNO/BN telah membangkit dan memastikan beberapa perubahan dibuat dalam bajet tersebut agar ia lebih mesra rakyat.
“Meskipun terdapat cubaan untuk menggagalkan belanjawan ini melalui undi belah bahagi tetapi sikap solidariti dalam kepimpinan BN berjaya membawa kepada kelulusan belanjawan ini,” ujarnya dalam satu kenyataan, hari ini.
Menteri Kanan Pertahanan Malaysia merangkap Ahli Parlimen Bera turut menjelaskan bahawa semasa BN menjadi pembangkang, semua Ahli Parlimen BN tetap menyokong belanjawan kerajaan ketika itu kerana apa yang menjadi keutamaan perjuangan BN adalah nasib rakyat.
“BN sentiasa mendahulukan kebajikan, keselamatan dan kesejahteraan rakyat apatah lagi di kala negar dilanda pandemik COVID-19, sudah pasti Belanjawan 2021 ini perlu disokong bagi meningkatkan taraf hidup rakyat khususnya golongan yang amat memerlukan.
“Ini terbukti apabila BN menyuarakan dan bertegas agar kerajaan melulus dan mempermudahkan pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebagaimana yang diharapkan rakyat kerana mengeluaran KWSP ini dapat meringankan kos sara hidup rakyat yang makin terhimpit akibat COVID-19.
“Perjuangan BN tidak pernah lari dan tidak akan berubah iaitu sentiasa mendahulukan rakyat dan ia selari dengan slogan UMNO ‘Bersatu, Bersetia, Berkhidmat’,” ujarnya lagi.
Selasa lalu, Belanjawan pertama kerajaan Perikatan Nasional (PN) diluluskan di Dewan Rakyat apabila Rang Undang-undang Perbekalan 2021 (Belanjawan 2021) itu memperoleh sokongan melalui undi belah bahagian selepas bacaan kali ketiga yang menyaksikan 111 ahli Parlimen bersetuju, 108 tidak bersetuju dan seorang tidak hadir.
Terdahulu, cubaan ahli Parlimen blok pembangkang untuk menggagalkan rang undang-undang tersebut ketika selesai penggulungan peringkat jawatankuasa, juga tidak berhasil apabila undi bahagian menyaksikan keputusan sama.
Rang Undang-Undang Perbekalan 2021 itu melalui tempoh 10 hari perbahasan dan penggulungan oleh setiap kementerian di peringkat jawatankuasa selepas diluluskan di peringkat dasar pada 26 Nov lepas. – UMNO Online