MKN, KKM Diminta Lebih Prihatin Fahami Beban Kos Hidup Rakyat Sabah – Bung Moktar

KUALA LUMPUR, 17 Dis – Kerajaan diminta untuk lebih prihatin dan memahami kesan yang dihadapi oleh rakyat Sabah dalam berdepan dengan beban kos sara hidup rakyat negeri berkenaan dari Kuala Lumpur.

Timbalan Ketua Menteri Sabah merangkap Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, rakyat Sabah terpaksa menghadapi isu tentang balik ke Sabah memandangkan kos semakin meningkat dan mahal.

“Apa tidaknya, rakyat Sabah terpaksa menghadapi isu tentang balik ke Sabah, kos semakin meningkat dan mahal… mana nak beli tiket, mana nak swab… kalau bujang atau berseorangan nak balik sendiri pun terpaksa bajet betul-betul, bagaimana pula yang bersama keluarga… kalau suami dan isteri bersama anak empat orang bukankah kos terlalu tinggi dan meningkat?” katanya.

Dalam hal ini beliau memberikan contoh jika selepas swab test dibuat tetapi penerbangan ditangguhkan maka ia akan memberi kesan lain.

“Kena buat swab test lepas itu dapat email flight di tangguh ke hari yg lain, keputusan swab test ni cuma pakai selama tiga hari, flight seterusnya kena swab lagi, keluar duit lagi.

“Saya harap pihak Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) serta lain-lain pihak yang bertanggungjawab, prihatin dan memahami keadaan serta kesan yang dihadapi oleh rakyat Sabah yang perlu melalui keadaan seumpama ini.”

Ujarnya, rakyat bukan sesuka hati untuk pergi balik akan tetapi mereka terpaksa kerana ada sebab-sebab tertentu yang perlu dibuat. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.