Wakil Rakyat UMNO/BN Pegang Prinsip Parti, Mendahulukan Nasib Rakyat – Abdul Rahman

KUALA LUMPUR, 16 Dis – Ahli Parlimen Lipis, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata kejayaan undian meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2021 (Belanjawan 2021) sebagai bukti bahawa wakil rakyat UMNO dan Barisan Nasional (BN) tetap berpegang kepada prinsip parti dan keperluan untuk mendahulukan nasib rakyat.

Kata Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar itu, percanggahan pendapat berjaya diketepikan tatkala di medan perang apabila melawan golongan rejim Dap serta kuncu-kuncunya, terbukti telah berjaya bersatu hati atas nama perjuangan demi rakyat.

“Tahniah Pakatan Harapan (PH) kerana terus mengekalkan falsafah ‘Consistenly Inconsisten’ apabila percubaan menggagalkan dewan berkali-kali masih tidak berjaya.

“Keinginan PH mendapatkan semula kuasa pemerintahan sejak kerajaan PH tumbang sehingga mengabaikan kepentingan rakyat jelas kelihatan,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Seterusnya, Abdul Rahman bersyukur atas kesepakatan yang ditunjukkan oleh semua wakil rakyat UMNO dan BN, setelah RUU Perbekalan 2021 bacaan kali ketiga diluluskan dengan suara majoriti 111 berbanding menolak 108.

Tambahnya, selepas mengharungi pelbagai episod di dalam dan luar dewan, terbukti persitiwa semalam telah menggambarkan cerminan solidariti Perikatan Nasional atas muafakat demi rakyat.

“Sepanjang proses perbahasan, diakui terdapat sebahagian wakil rakyat yang beberapa kali menegur dan tidak sependapat dengan beberapa perkara yang termaktub dalam Belanjawan 2021, namun di kala tiba hari penentuan, mereka tidak pernah seinci pun lari dari pegangan parti keramat ini,” katanya.

Abdul Rahman yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO juga terharu melihat sokongan yang ditunjukkan di Dewan Rakyat itu dan ia membuktikan bahawa semua wakil rakyat parti menjunjung tinggi titah Yang Dipertuan Agong untuk menyokong Belanjawan 2021.

“Percayalah kerajaan sedang berusaha sehabis baik bagi meringankan beban yang ditanggung rakyat pasca pandemik ini.

“Justeru, yakinlah dengan terus memilih UMNO dan BN kerana kami sedar perpecahan tidak menjadikan kami kuat malah hanya akan menunjukkan kelemahan di mata rakyat,” katanya sambil menyeru teruskan kecemerlangan bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan datang. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.