Survival Parti Berkait Rapat Permintaan Politik Semasa – Dr Najmil

KUALA LUMPUR, 16 Dis – Exco Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr. Najmil Faiz Mohamed Aris berkata permintaan politik pada hari ini adalah berkenaan isu-isu sejagat yang lebih universal seperti keadilan, ketelusan, tadbir urus yang cekap dan kepentingan awam berbanding politik lama yang telah ditolak oleh golongan muda.

Jelas beliau, golongan muda merupakan penentu ‘survival’ sesebuah parti dan sehubungan itu parti perlu menyesuaikan ideologinya dengan tuntutan golongan muda.

“Golongan ini lebih cenderung untuk memilih calon yang lebih muda, bebas daripada skandal dan mempunyai idea baharu untuk mewakili mereka.

“Semua parti mempunyai pemimpin pelapis yang perlu ditonjolkan sebagai muka baru pada Pilihan Raya Umum (PRU) 15 akan datang. Perlu kita ingat, seramai 7.8 juta pengundi baharu akan didaftarkan sebagai pemilih selepas ini dan mereka akan menjadi penentu kelangsungan sesebuah kerajaan,” katanya dalam catatan di Facebook, hari ini.

Oleh itu katanya, politik lama yang berteraskan penaungan, perkauman dan kronisme sudah tidak laku lagi.

“Lihatlah kembali keputusan PRU 2018 apabila UMNO-BN (Barisan Nasional) mengalami kekalahan kerana kegagalan membawa naratif politik baharu seperti parti lawan.

“Kita memerlukan wajah baharu dalam politik untuk meneraju negara. Masa depan Malaysia semakin malap apabila orang muda tidak diberi peluang dalam politik terutama sekali menjadi calon pada pilihan raya.

“Jika UMNO mahu terus relevan dan menjadi pilihan rakyat, ketokohan orang muda dalam parti perlu ditonjolkan,” ujarnya.

Soalnya lagi, sampai bila rakyat mahukan veteran politik seperti Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tengku Razaleigh Hamzah mencatur politik Malaysia. – UMNO Online

Oleh: Amin Adnan

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.