Pampasan Air : ‘Pengorbanan’ Negeri Lain Juga Perlu Diambil Kira – Sharkar

KUALA LUMPUR, 16 Dis – Saranan Kementerian Alam Sekitar dan Air supaya kerajaan Pulau Pinang menyumbang dalam bentuk kewangan kepada Kedah selepas kerajaan negeri itu berkorban untuk tidak meneroka kawasan tadahan air Ulu Muda di negeri itu adalah saranan yang baik.

Exco Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi Negeri Pahang, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin berkata cuma apa yang diharapkan saranan dikemukakan oleh kementerian itu tidak hanya tertumpu di negeri Kedah sahaja sebaliknya ia perlu menyeluruh melibatkan semua pihak dan negeri-negeri lain yang juga turut berkorban menjaga hutan demi kawasan tadahan air.

Menurut beliau pihaknya menyokong saranan yang dikemukakan oleh menterinya, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man kerana adalah wajar negeri yang berkorban untuk tadahan air diberikan pampasan dalam bentuk kewangan.

“Di Pahang misalnya, jumlah kawasan diwartakan sebagai kawasan tadahan air di negeri ini setakat ini ialah seluas 258,951.88 hektar.

“Sememangnya aspek pemuliharaan hutan dan kawasan tadahan air menjadi keutamaan kerajaan negeri, khususnya dalam memastikan jumlah hutan di Pahang yang setakat ini, 57 peratus melebihi keluasan tanah di negeri ini terus berada di tahap tinggi,” katanya dalam satu kenyataan kepada UMNO-Online, di sini hari ini.

Tambah Sharkar lagi, itu komitmen dan keutamaan kerajaan Pahang yang komited menjaga kelestarian hutan yang mana tujuannya untuk kawasan tadahan air.

Ujarnya permintaan bekalan air semakin meningkat sejajar dengan pertambahan penduduk namun sumber air mentah semakin berkurangan akibat pemusnahan kawasan tadahan air.

“Ini menyebabkan kuantiti air mentah berkurangan dan bagi negeri yang tidak menjaga hutan demi melaksanakan pembangunan, negeri-negeri yang berkorban menjaga hutan dan kawasan tadahan air yang menyumbang sumber air.

“Jika disebut soal kemajuan, semua negeri mahu maju dengan melaksanakan aspek pembangunan termasuk melakukan penerokaan hutan, tapi kerajaan Pahang sanggup berkorban untuk kepentingan sumber air kepada negeri lain.

“Jadi, adalah sewajarnya kerajaan negeri Pahang juga menerima pampasan sewajarnya daripada pengorbanan yang dibuat itu. Jika diberi lampu hijau, kerajaan negeri Pahang akan membuat kajian terperinci berhubung jumlahnya dan sebagainya dan apa juga penting, saranan Kementerian Alam Sekitar dan Air itu dilaksanakan secara menyeluruh dan tidak hanya dalam konteks negeri Kedah sahaja,” tambah beliau.

Memetik laporan Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, menggesa kerajaan Pulau Pinang mempertimbangkan pemberian sumbangan dalam bentuk kewangan kepada kerajaan negeri Kedah.

Gesaan itu katanya disebabkan kerajaan Kedah telah menarik balik niat untuk meneroka kawasan tadahan air Ulu Muda. – UMNO Online

Oleh: Azman Abas

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.