Kelulusan Bajet Bukan Pengakhiran Kepada Perjuangan i-Sinar, Pemuda UMNO Tetap Jadi Jurubicara Rakyat

KUALA LUMPUR, 16 Dis – Sejak awal biarpun tiada punya kuasa membuat apa-apa keputusan, Pemuda UMNO berusaha menjadi jurubicara rakyat dengan menyampaikan Memorandum Suara Rakyat dalam isu Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan moratorium secara bersemuka dengan Menteri Kewangan, berhubung terus dengan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) KWSP serta mendesak melalui pelbagai saluran media termasuk melalui Ahli-Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) di Dewan Rakyat.

Ketuanya, Datuk Dr Asyraf mengulangi pendirian tersebut bagi menjawab timbul persoalan apakah benar Pemuda UMNO hanya memberi harapan palsu berhubung isu i-Sinar KWSP.

“Alhamdulillah, berkat desakan bersepadu semua pihak termasuk Datuk Seri Najib Razak dan Pengerusi BN, kerajaan telah menambah baik dari semasa ke semasa (daripada kerajaan peringkat awal menolak terus idea pengeluaran Akaun 1 KWSP, kepada 600 ribu pencarum dibenarkan keluar, kemudian ditambah baik lagi kepada 2 juta sehinggalah diperluaskan lagi kepada 8 juta pencarum),” ujarnya dalam satu hantaran di Facebook.

Berhubung dengan pertanyaan apakah Pemuda UMNO akan berhenti berjuang dalam isu KWSP, Dr Asyraf berkata mereka tidak akan sesekali berhenti bersuara selagi penambahbaikan mengenainya tidak dibuat oleh pihak terbabit.

“Sudah tentu Pemuda tidak sesekali akan berhenti bersuara selagi apa yang dituntut rakyat terutamanya penambahbaikan oleh pihak KWSP dalam Kategori 2 Penerima i-Sinar agar syarat atau kriteria dimansuhkan bagi memberi manfaat kepada lebih ramai rakyat di kalangan pencarum yang susah ketika ini,” katanya.

Begitu juga dengan tindakan Pemuda UMNO jika kerajaan Perikatan Nasional (PN) mungkir janji, Dr Asyraf berkata:

“Sebagaimana yang dijanjikan YB Menteri Kewangan bahawa isu KWSP dan moratorium masih boleh ditambahbaik biarpun bajet sudah diluluskan, kami Pemuda akan beri ruang sedikit masa untuk pihak kerajaan kotakan janji.

“Jika masih tiada apa-apa, kita masih punya kuasa politik untuk digunakan bagi pihak rakyat. Insya-Allah tunggu dan lihat,” tegasnya lagi.

Walauapapun tanggapan, andaian dan tuduhan, tambah Dr Asyraf, Pemuda UMNO akan terus berjuang dalam isu yang menyentuh kelangsungan hidup dan kepayahan rakyat ketika ini sejajar dengan prinsip mereka. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.