Rakyat Dapat Lihat Sandiwara Pembangkang Mahu Sabotaj Bajet – Annuar

KUALA LUMPUR, 15 Dis – Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa berkata rakyat benar-benar boleh menyaksikan sandiwara pembangkang yang sengaja mencari alasan untuk menolak Belanjawan 2021.

“Bukan kerana bajet tak baik, tapi mencari alasan untuk jatuhkan kerajaan. Dah lebih 20 kali mengundi, mereka gagal.

“Sekarang mereka nak sabotaj Bajet Rakyat di bacaan ketiga hari ini,” ciap Ahli Parlimen Ketereh itu di Twitter.

Sebelum itu Annuar yang juga Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) di dalam platform media sosial yang sama berkata semua ahli Parlimen telah berbahas berhari-hari dan berpuluh kali mengundi di Dewan Rakyat.

“Tidak pernah belanjawan dibahas dan diundi sebegini… Setelah belanjawan sudah berkali-kali di luluskan, masih lagi pembangkang nak gagalkan bajet.


“Mereka berjuang untuk rakyat atau siapa sebenarnya?” soalnya lagi.

Dilaporkan, undian bacaan kali ketiga Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan (Belanjawan) 2021 akan berlangsung pada hari ini.

Pada 26 Nov lalu, RUU tersebut telah diluluskan di peringkat dasar menerusi undian suara majoriti, manakala di peringkat jawatankuasa diluluskan sama ada melalui undian suara majoriti dan juga undian belah bahagian. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.