Politik Dan Angka Tidak Dapat Dipisahkan, Wujudkan Kerajaan Stabil – Ahmad Maslan

KUALA LUMPUR, 15 Dis – Ahli Parlimen Pontian Datuk Seri Ahmad Maslan berpandangan kestabilan politik di dalam sesebuah negara sebenarnya melibatkan angka dan apabila sesebuah kerajaan dibentuk dengan majoriti tipis ianya akan menjadikan sesebuah kerajaan itu tidak stabil.

Dengan mengambil contoh negara hari ini yang mana kerajaan terbentuk dengan kelebihan yang cukup tipis ianya menyukarkan kerajaan apabila berlaku pengundian belah bahagi di Parlimen termasuklah dalam pengundian yang melibatkan bajet keseluruhan mahupun peringkat kementerian itu sendiri.

‘’Kestabilan politik mesti melibatkan angka dan jika angkanya meyakinkan serta besar, politik sesebuah negara itu akan stabil. Kita ada 222 parlimen dan itu angka sebenar dan daripada 222 itu kalau separuh angkanya adalah 111 dan jika mahu menang 111 tambah dengan satu. Dan jika mahu stabil ianya tidak boleh dicampur satu dan mesti dicampur 30 atau 50 dan sebagainya.

‘’Masalah kita di negara ini 111 campur satu dan itu sahaja kerajaan hari ini dan ianya betul-betul di atas garisan kemenangan yang membolehkan untuk memerintah dan itu sebabnya tidak stabil dan saya pernah menyebut dalam satu wawancara bahawa Malaysia adalah sebuah negara yang paling tipis majoritinya dalam dunia. Saya rasa tidak jumpa lagi di dunia ini…lebih satu undi sahaja,’’ katanya dalam Program Bicara Nasional yang disiarkan menerusi Facebook BN Comms, di sini, Isnin malam.

Ahmad Maslan yang juga Setiausaha Agung UMNO menjelaskan dalam apa jua keadaan dan apa jua senario angka-angka cukup penting yang mana ianya mendasari sesebuah pemerintahan dan ianya tidak boleh dipandang mudah sama sekali..

‘’Apabila meninggal Ahli Parlimen Batu Sapi Datuk Liew Vui Keong dan meninggal pula Datuk Hasbullah Osman Ahli Parlimen Gerik maka 222 akan jadi 220. Apa yang berlaku minggu lalu pada Rabu dan Khamis, angka undi belah bahagi pada Rabu kerajaan 109 dan pembangkang 94 manakala tidak hadir 17. Tetapi pada hari Khamis kerajaan 107 dan pembangkang 100  manakala tidak hadir 13…107 dengan 100 bukankah menampakkan ianya tidak stabil.

‘’Angka-angka ini cukup penting dan kita kena letakkan bahawa politik adalah melibatkan angka dan jika kita tidak memiliki angka-angka maka kita tidak boleh memerintah dengan stabil. Hari-hari kena berada di Dewan Rakyat bagaimana nak buat kerja. Pada minggu lepas saya terpaksa membatalkan satu ‘appointment’ dengan Duta Brazil….saya jangka habis pukul 4.30 tetapi habis 5.30. Saya ‘call’ dan saya beritahu akan pergi ke tempat beliau kerana berlaku pengundian di Parlimen. Kita jangkakan waktunya selesai 4.30 tetapi tidak selesai. Bagaimana kita nak buat kerja.

‘’Perdana Menteri kena ada…menteri-menteri kena ada dalam dewan. Kalau tidak ianya tidak cukup untuk mengundi. Apabila tidak mencukupi, satu-satu bajet kementerian itu tidak lepas dan apabila tidak lepas ianya akan mengganggu pelaksanaan kementerian pada tahun depan manakala jika bajet keseluruhan tidak lepas maka kerajaan itu akan jatuh,’’ ujarnya. – UMNO Online

Oleh: Azman Abas

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.