Pemergian Tokoh Melayu Terbilang Prof Diraja Ungku Abdul Aziz: Negara Kehilangan Permata Berharga

KUALA LUMPUR, 15 Dis – Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyifatkan pemergian Profesor Diraja Ungku Abdul Aziz Ungku Abdul Hamid, 98, sebagai kehilangan sebutir permata yang berharga dalam dunia akademik negara.

“Terlalu banyak jasanya kepada negara.

“Alfatihah,” ujarnya dalam satu hantaran di Facebook.

Manakala di platform media sosial yang sama, Timbalan Presiden Datuk Seri Mohamad Hasan pula berkata Almarhum adalah putera terbaik bangsa.

“Dharmabakti dan sumbangsih Almarhum kepada bangsa sangat luar biasa dan akan dikenang selamanya.

“Almarhum telah membawa kesejukan kepada tanah air dan menjadikan ia lebih baik.

“Semoga Allah SWT menempatkan Almarhum di kalangan para Solihin jua hendaknya, Insya-Allah,” katanya.

Petang tadi, negara dikejutkan dengan berita pemergian ilmuan negara itu yang meninggal dunia di sini, kira-kira jam 4 petang.

Prof Diraja Ungku Abdul Aziz yang dilahirkan di London, United Kingdom pada 28 Jan 1922 merupakan seorang tokoh yang disegani terutamanya dalam bidang pendidikan, selain menjadi tokoh penting di sebalik penubuhan Tabung Haji dan Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa).

Beliau juga merupakan anak Melayu yang pertama dinobatkan sebagai Tokoh Melayu Terbilang sempena Hari UMNO pada 11 Mei 2005. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.