Bajet 2021 Perak : Rangsang Ekonomi Negeri, Jaga Kebajikan Rakyat – Saarani

LENGGONG, 15 Dis – Menteri Besar Perak, Datuk Saarani Mohamad berkata Belanjawan 2021 Perak akan dibentangkan berasaskan kepada apa yang telah dibincang sebelum ini di bawah pentadbiran bekas Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

Menurut beliau jika ada penambahan dan sebagainya ia akan dilaksanakan menerusi ‘supplementary’ bajet namun buat masa ini apa yang terkandung di dalam Bajet 2021 Perak akan diteruskan sepertimana yang telah dibincangkan sewaktu menjadi Exco.

“Saya menyedari sebaik sahaja saya dilantik sebagai MB (Menteri Besar), tugas utama yang sangat besar dan mendesak sekarang adalah untuk mempastikan Bajet 2021 Perak insya-Allah kita akan bawa pada hari Rabu ini dapat dibahaskan dengan baik dan akhirnya diluluskan.

“Dalam perbincangan bersama rakan-rakan serta pegawai-pegawai kerajaan kita tidak akan mengubah perkara-perkara yang telah pun kita persetujui bersama dan telah dicetak dalam buku belanjawan itu kerana antara orang yang terlibat dengan perbincangan dalam Exco kerajaan negeri saya sendiri dan juga beberapa rakan lain. Kami sudah terlibat dalam pra-perbincangan perbahasan untuk meluluskan buku bajet itu dalam Exco kerajaan negeri. Jadi ‘unfair’ kalau saya nak ubah semula.

“Keduanya kekangan masa dan kita tidak sempat untuk mencetak semula. Kalau ada perkara-perkara baru kita boleh buat di dalam apa yang dipanggil ‘supplementary’ bajet kemudian. Jadi untuk sementara waktu ini untuk secara formalitinya Exco hendaklah meneliti dan meluluskan bajet itu,” katanya dalam wawancara eksklusif bersama UMNO Online.

Tambah Saarani lagi semua 59 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) akan diberikan taklimat mengenai bajet tersebut sebelum masing-masing berbahas pada sesi perbahasan di Dewan Undangan Negeri (DUN).

“Kita memanggil 59 Adun untuk diberi taklimat dan tujuannya adalah untuk mereka memahami apa yang terkandung. Ini penting agar semasa mereka mengambil bahagian dalam perbahasan adalah perbahasan berasaskan pengetahun masing-masing berkaitan kandungan tersebut. Jadi pada hari Rabu insya-Allah saya akan membentangkan bajet tersebut dan dibahaskan pada hari Khamis dan Jumaat kita akan gulung dan insya-Allah akan diluluskan.

“Jadi apabila bajet ini diluluskan barulah kita boleh berbelanja pada bulan Januari 2021. Barulah kita boleh laksanakan pembangunan dan boleh keluarkan arahan kepada ketua-ketua jabatan untuk merangka atau melaksanakan program yang telah mereka cadangkan. Sebab bajet ini dibuat setelah kita adakan bajet dialog di kalangan ketua jabatan dan itu adalah datang daripada cadangan mereka… apabila diluluskan maka ketua jabatan kena melaksanakan.

“Jadi apa yang kita cadangkan itu adalah supaya bajet ini bajet yang boleh merangsang pembangunan ekonomi, bajet yang boleh memberi keyakinan kepada rakyat Perak bahawa mereka selamat dan kebajikan mereka kita jaga. Bajet ini menentukan kebajikan rakyat terbela,” ujarnya lagi. – UMNO Online

Oleh: Azman Abas

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.