i-Sinar KWSP: Kriteria/Syarat Pengeluaran Harus Dimansuhkan Sepenuhnya – Pemuda UMNO

KUALA LUMPUR, 14 Dis – Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia bertegas agar kriteria atau syarat bagi pengeluaran dari Akaun 1 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) melalui i-Sinar haruslah dimansuhkan sepenuhnya.

Kata ketuanya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, ini adalah supaya ahli yang berada dalam kesusahan dan memerlukan akses kepada simpanan mereka dibenarkan untuk membuat pengeluaran sehingga RM10,000 dalam tempoh masa yang paling singkat.

“Walaupun skim i-Sinar telah ditambahbaik beberapa kali, pendirian Pemuda UMNO ialah kriteria/syarat yang ditetapkan untuk permohonan di bawah kategori 2 adalah tidak adil dan tidak wajar,” katanya dalam kenyataan berkaitan isu tersebut, hari ini.

Beliau berkata demikian setelah Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berjanji dalam penggulungan belanjawan 2021 untuk memenuhi tuntutan Barisan Nasional (BN) bagi pengeluaran dari Akaun 1 KWSP dan lanjutan Moratorium pinjaman secara automatik.

Berhubung hal ini, Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia telah menyediakan dua ‘hotline’ bagi memantau aduan rakyat mengenai perlaksanaannya.

“Sejak dilancarkan, kami telah menerima lebih 2,000 keluhan, rintihan dan aduan rakyat dari pelbagai medium, baik di media sosial seperti facebook dan twitter, whatsapp dan panggilan telefon.

“Demikian juga perihal moratorium, setelah menerima beberapa laporan daripada mereka yang pernah memohon bank untuk memberi lanjutan moratorium pinjaman, Pemuda UMNO pecaya bahawa terdapat bank-bank tertentu yang tidak mematuhi apa yang dijanjikan Menteri Kewangan.”

Ujarnya, antara aduan yang diterima daripada orang awam termasuklah bank tidak memberi jawapan kepada pemohon dalam tempoh yang munasabah, bank masih memerlukan pelbagai dokumen sokongan diserah walaupun Menteri Kewangan berjanji kelulusan adalah automatik bagi golongan B40, M40 dan Perniagaan Kecil dan Sederhana (PKS) serta tempoh bayaran pinjaman ditambah sehingga dua hingga empat tahun lagi bagi mereka yang meminta moratorium.

“Pemuda UMNO meminta orang ramai yang mengalami sebarang masalah semasa meminta lanjutan moratorium pinjaman dan pengeluaran KWSP untuk terus menyalurkan aduan secara terperinci.

“InsyaAllah, Pemuda UMNO akan kumpulkan semua aduan terhadap masalah-masalah yang diterima kepada pihak Kementerian Kewangan,” katanya lagi.

Untuk berkongsi masalah berkaitan hal tersebut boleh dibuat melalui facebook atau whatsapp dan hubungi nombor khas berikut: 013-7354116 atau 013-7354117. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.