Saarani Amat Hargai Amanat, Nasihat Dari Pemimpin Terdahulu

LENGGONG, 13 Dis – Menteri Besar Perak, Datuk Saarani Mohamad amat menghargai amanat-amanat serta nasihat yang telah diberikan oleh pemimpin terdahulu sepertimana dari bekas Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob.

Jelas Pengerusi UMNO Perak itu, amanat yang diberikan cukup bererti baginya dalam menguruskan pemerintahan kerajaan negeri Perak.

“Bekas Menteri Besar Pahang menasihati saya beberapa perkara yang perlu saya lakukan dan nasihat yang perlu saya elakkan.

“Kelihatan lima nasihat yang diberikan oleh Adnan Yaakob kepada saya yang memerlukan kita bersyukur kepada Allah. Jangan membuat keputusan bersendirian dan kena buat secara berpasukan dengan Exco Kerajaan Negeri. Jangan salah guna kuasa. Jangan kedekut dan yang terakhir jangan sombong, berbaik sangka dan jangan bermusuh dengan ketua jabatan dan kerajaan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas Majlis Kesyukuran Menteri Besar Perak dan Menteri Tenaga dan Sumber Asli di Dewan Komuniti Kemas Lenggong, di sini, Sabtu petang.

Turut hadir Menteri Tenaga dan Sumber Asli yang juga Ahli Parlimen Lenggong, Datuk Dr. Shamsul Anuar Nasarah, Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Nazri Abdul Aziz dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kenering, Datuk Tarmizi Idris.

Tambah Saarani lagi yang juga ADUN Kota Tampan, beliau turut terkesan nasihat yang diberikan oleh Adnan Yaakob dan ia sesuai perasaanya.

“Jangan lupa ucapkan terima kasih kepada pengorbanan isteri dan anak-anak, secara rasmi saya telah mengucapkan terima kasih kepada isteri dan anak-anak saya.

“Ini adalah nasihat-nasihat yang sangat berguna dari seorang Veteran UMNO dan juga bekas Menteri Besar Pahang untuk saya dan ia sangat berguna untuk saya … dan saya akan mengambil panduan,” katanya. UMNO Online

Oleh: Amin Adnan

 

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.