Saman Ditolak, Tuduhan Rasuah Berlaku? Ini Penjelasannya – Azeez Rahim

KUALA LUMPUR, 12 Dis – Ahli Parlimen Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim berkata ramai juga penyokong parti lawan yang menuduh bahawa keputusan Mahkamah Tinggi menolak tuntutan samannya adalah bukti beliau benar-benar menerima rasuah daripada pemaju terowong dasar laut.

Katanya, ini merujuk kepada keputusan Mahkamah Tinggi Pulau Pinang berkenaan kes saman beliau ke atas bekas Ketua Menteri Pulau Pinang yang juga Setiausaha Agung Dap, Lim Guan Eng pada pagi semalam, Jumaat.

Berikutan itu, Azeez yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO memberi penjelasan supaya rakyat tidak terjerumus ke dalam lembah fitnah yang baharu.

“Keputusan ini dibuat kerana mahkamah beranggapan bahawa Lim Guan Eng tidak pernah membuat tuduhan rasuah ke atas saya.

“Saman Tuntutan saya kepada Lim Guan Eng adalah berasaskan kepada kenyataan yang dibuat oleh beliau yang mendesak supaya SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) menangkap dan menyiasat saya atas tuduhan rasuah.

“Pihak Lim Guan Eng juga telah menyebut dengan jelas bahawa SPRM telah bertindak double standard kerana saya mempunyai hubungan baik dengan SPRM yang menyebabkan saya tidak ditahan,” katanya dalam satu catatan di Facebook.

Jelasnya lagi, pihak Konsortium Zenith Construction Sdn. Bhd. (kontraktor terowong) melalui peguamnya telah mengesahkan bahawa beliau tidak pernah menerima rasuah dan permohonan maaf telah dibuat oleh syarikat tersebut kepadanya berkaitan dakwaan berkenaan setelah menyedari bahawa beliau adalah mangsa penjualan nama.

Ulasnya lagi, keputusan perbicaraan intu tidak pernah membuktikan beliau ada menerima rasuah daripada mana-mana pihak dan perkara ini telah disahkan oleh pihak SPRM sendiri.

“Meskipun saya gagal di peringkat Mahkamah Tinggi namun saya akan memfailkan permohonan rayuan di Mahkamah Rayuan kerana saya percaya bahawa terdapat unsur “defamation” di dalam ucapan Lim Guang Eng bagi mengaitkan saya di dalam perbuatan rasuah.

“Serangan bertalu-talu RBA (Red Bean Army) ke atas saya hari ini adalah bukti bahawa unsur tersebut wujud,” tegasnya.

Justeru, beliau ‘berpesan’ kepada pihak yng membuat tuduhan agar terus membuat serangan.

“Supaya senang saya bawa sebagai bukti unsur fitnah tersebut di mahkamah rayuan kelak,” tegasnya. – UMNO ONLINE