Bayaran Pampasan Air Kedah – P.Pinang: Wajar Perkenal Cukai Bekalan Air Mentah Antara Negeri ‘Riparian’

KUALA LUMPUR, 11 Dis – Tuntutan bayaran pampasan air oleh Kedah kepada Pulau Pinang bukan perkara baharu dan ianya telah berlarutan puluhan tahun, melangkui beberapa Menteri Besar di Kedah dan beberapa Ketua Menteri di Pulau Pinang.

Ketua Penerangan Pemuda UMNO Kedah, Syed Mohd Johan Rizal Syed Unan Mashri berkata setiap kali kerajaan Kedah berubah pucuk pimpinan, isu berkenaan bangkit semula tetapi tiada juga penyelesaian.

Menurutnya senario tersebut terjadi apabila satu pihak meminta bayaran sementara satu pihak lagi tidak mengendahkan tuntutan itu atas alasan mereka adalah negeri ‘riparian’ iaitu negeri laluan sungai.

“Secara geografinya negeri Kedah adalah negeri ‘upstream’ iaitu hulu sungai manakala Pulau Pinang adalah negeri ‘downstream iaitu hilir sungai. Secara perundangannya negeri ‘Riparian’ boleh menerima faedah pengunaan secara munasabah (reasonable use) aliran sungai.

“Namun melihat situasi semasa faedah yang dinikmati Pulau Pinang adalah lebih daripada munasabah iaitu memperoleh sumber air mentah secara percuma, merawat air dan menjual sumber ini untuk kegunaan seluruh rakyat Pulau Pinang dan kerajaan memperoleh keuntungan berlipat ganda.

“Manakala Kedah terpaksa berkorban tidak boleh melakukan pembangunan dan pembalakan di dataran Hulu Sungai Muda demi manafaat rakyat Pulau Pinang tanpa apa-apa hasil kepada kerajaan negeri,” katanya dalam satu kenyataan kepada UMNO-Online, di sini hari ini.

Tambah beliau lagi kaedah tuntutan berkenaan masih sama sejak puluhan tahun dahulu, tetapi setiap kali tuntutan dibuat kerajaan Kedah mengharapkan keputusan yang berbeza.

Realitinya kata beliau pendekatan itu dilihat sudah tidak akan berkesan melihat reaksi kerajaan Pulau Pinang yang sememangnya tidak mahu membayar.

“Tuntutan hanya meraih faedah reputasi politik, kerana menampakkan kita bertegas mempertahankan hak, tetapi tidak dinamik dalam situasi semasa iaitu perbezaan politik antara kerajaan Kedah dan Pulau Pinang.

“Oleh itu kerajaan negeri Kedah perlu inovatif dalam tuntutan mereka jikalau mengharapkan keputusan yang berbeza. Kaedah menuntut dan terus menuntut tidak akan membuahkan hasil lagi. Salah satu keadah adalah melobi campurtangan kerajaan pusat supaya mengubal peraturan mewajibkan Pulau Pinang membayar pampasan ‘pengorbanan dan kehilangan pendapatan’ kepada Kedah, bagi memastikan keselamatan bekalan air kepada negeri jiran itu.

“Sudah lama negeri ini berkorban dan sudah banyak kerugian pendapatan hanya bagi memastikan Pulau Pinang terus membuat keuntungan hasil bekalan air mentah dari Kedah. Melobi kerajaan pusat agar mengadakan satu peraturan mewajibkan Pulau Pinang membayar sejumlah ‘cukai bekalan air mentah’ adalah lebih realistik dan mempunyai harapan untuk mencapai kejayaan,” ujarnya.

Ujar beliau kerajaan pusat mempunyai kuasa memperkenalkan peraturan pembayaran pampasan berbentuk cukai sedemikian.

“Perkara 74 (1) Perlembagaan Persekutuan dan dibaca bersama artikel 11 (b) Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan, Parlimen boleh membuat undang-undang mengenai bekalan air, sungai dan terusan, kecuali yang keseluruhannya terletak di dalam satu Negeri atau yang dikawal selia oleh suatu perjanjian antara semua Negeri yang berkenaan pengeluaran, pengagihan dan pembekalan kuasa air.

“Mengambil peluang pegangan politik yang selari antara Kerajaan Kedah dan Persekutuan, ini adalah masa terbaik mengusulkan kewujudkan peraturan sebegitu. Wujudnya peraturan “cukai bekalan air mentah” itu turut menguntungkan negeri lain sekiranya mereka berhadapan situasi sama seperti Kedah dan Pulau Pinang.

“Pada masa yang sama kerajaan negeri perlu terus menuntut pampasan tahunan ataupun royalti padi daripada kerajaan pusat akibat kehilangan pendapatan kerana mengekalkan kawasan tadahan hujan di Hulu Muda. Royalti itu harus terus diperjuangkan atas dasar mempertahankan tanah sawah dan “food security” memastikan bekalan beras negara mencukupi,” tambahnya lagi. – UMNO-online