Yakin Tiga Presiden Berjaya Selesaikan Isu Perak – Ahmad Maslan

KUALA LUMPUR, 9 Dis – Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Ahmad Maslan yakin Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin berjaya menyelesaikan isu politik di negeri Perak.

“Saya yakin tiga Presiden termasuk Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berjaya selesaikan isu Perak,” ciapnya di Twitter.

Ahmad yang juga Ahli Parlimen Pontian berharap isu yang melingkari politik di negeri itu berjaya diselesaikan pada hari ini.

Dalam twitnya juga, Ahmad memaparkan gambar pertemuan pemimpin-pemimpin parti tersebut yang turut dihadirinya.

“Saya hadir perbincangan Datuk Seri Ahmad Zahid Presiden UMNO dan Tan Sri Annuar Musa Setiausaha Agung Barisan Nasional.

“Sempat berbual dengan Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang Presiden PAS dan Datuk Takiyuddin Hassan Setiausaha Agung PAS,” katanya lagi.

Tengah hari semalam, Ahmad telah menyerahkan sendiri surat rasmi UMNO kepada Takiyuddin dan Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Hamzah Zainuddin berhubung keputusan Mesyuarat Khas Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO pada Isnin malam.

Mesyuarat tersebut memutuskan bahawa kerajaan Perikatan Nasional (PN) Perak yang sebelum ini terdiri daripada Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dari ketiga-tiga parti itu hendaklah dipertahankan.

Kemelut politik Perak tercetus pada Jumaat lepas selepas pembentangan usul ‘keyakinan ADUN terhadap menteri besar’ yang menyaksikan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu kehilangan sokongan majoriti ADUN.

Menerusi usul semasa Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN), Ahmad Faizal yang juga ADUN Chenderiang hanya memperoleh 10 sokongan berbanding 48 menentang, manakala satu berkecuali.

Jawatan Menteri Besar Perak kini kosong selepas Ahmad Faizal meletak jawatan sehari kemudian.

DUN Perak merangkumi 25 BN, Dap (16), Amanah (5), Bersatu (5), PKR (3) dan PAS (3), manakala Gerakan dan Bebas masing-masing satu kerusi. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.