KWSP, Moratorium Dan Tabung Haji Akan Terus Dipantau, Perkasakan Agenda Pemuda Bantu Rakyat  – Asyraf

KUALA LUMPUR, 9 Dis – Pemuda UMNO akan terus memantau isu-isu yang dekat dengan rakyat dalam usaha memastikan kepentingan serta kebajikan terutama mereka-mereka yang terjejas dengan senario semasa negara hari ini.

Ketuanya Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata mesyuarat exco pergerakan itu hari ini telah mengambil pendirian secara sepakat untuk terus memperjuangkan dan memantau isu-isu menyentuh kepentingan rakyat seperti i-Sinar Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Moratorium, penjualan aset Ladang Thp selain terus memperkasa agenda  Pemuda bantu rakyat.

“Pemuda UMNO melalui Sekretariat Pemantau is KWSP akan terus membela rakyat dan memantau proses untuk mempermudahkan pihak pencarum bagi mengeluarkan wang simpanan mereka tanpa mengenakan sebarang syarat, kriteria dan diberikan pilihan untuk mengeluarkannya secara one-off sebanyak RM10,000 maksimum.

“Kita juga akan memantau sejauh mana kemudahan moratorium yang dijanjikan benar-benar memenuhi keperluan rakyat dengan meneruskan talian hotline 013-7354116 dan 013-7354117,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Berhubung isu penjualan aset Ladang Thp, Asyraf menjelaskan walaupun kerajaan mengumumkan penarikan balik kelulusan penjualan aset-aset ladang THP ini atas alasan untuk diteliti dengan lebih lanjut, pergerakan itu akan memantau secara lebih dekat.

“Pemuda UMNO akan meneliti dengan dekat perkembangan samaada transaksi ini bakal diteruskan juga pada masa akan datang. Sejujurnya, kami masih berwaspada kerana daripada maklumat yang kami dedahkan sejak sebelum Kejatuhan Kerajaan PH pada bulan Januari 2020, THP telahpun menerima bayaran pendahuluan yang besar daripada penjualan tersebut setelah diumumkan di Bursa Malaysia. Justeru, bagi pihak rakyat dan pendeposit TH, insyaAllah kami akan terus memantau dan bersuara,” ujarnya.

Dalam perkembangan lain Asyraf turut memaklumkan pergerakan itu akan terus menggerakkan 191 Bahagian dan 22,143 cawangan seluruh Malaysia untuk menghulurkan tangan dengan menyumbang keringat tenaga dan menyalurkan bantuan kepada golongan yang benar-benar memerlukan dalam suasana pandemik yang belum berakhir. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.