Jangan Tersalah Langkah, Keutamaan Sekarang Berpadu Dalam Satu Saf – Marzuki

LANGKAWI, 9 Dis – Situasi politik di negeri Perak yang terumbang-ambing sekarang antara ujian terhebat yang perlu ditempuh oleh Muafakat Nasional, kata Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Langkawi, Ahmad Marzuki Shari’at.

Pesannya, jika tersalah langkah walau setapak, Muafakat Nasional akan hancur berkecai menjadi debu yang dihina Dap.

“Bagi Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Langkawi, kami semua bersepakat dan bersatu hati dalam pandangan bahawa pucuk pimpinan UMNO dan PAS wajib mendahulukan urusan ummah dan mengutamakan Piagam Muafakat Nasional ini.

“Walaupun pasti ada anasir-anasir luar yang cuba menyucuk UMNO dan juga PAS dari luar, namun atas nama agama Islam dan bangsa Melayu, kami para pewaris parti dan muafakat ini amat berharap agar pucuk pimpinan kedua-dua parti dapat membuat keputusan yang akan menguntungkan Muafakat Nasional,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Justeru, beliau menyeru semua pihak yang bermula dari Muafakat Nasional membawa kekuatan itu ke dalam Perikatan Nasional bagi membentuk sebuah Kerajaan Negeri Perak yang kuat, utuh dan berkarisma.

“Inilah masanya untuk kita terus tundukkan ego dan kejahatan Dap selama ini. Jangan biarkan Dap dan kuncu-kuncunya kembali berkuasa,” tegasnya lagi.

Ulasnya juga, Perhimpunan menentang ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) pada tahun 2018 antara perhimpunan terbesar pernah dicatat dalam sejarah negara.

“Dua lagi perhimpunan yang besar dalam sejarah kita adalah perhimpunan menentang Malayan Union pada tahun 1946 dan perhimpunan menyambut kemerdekaan pada 1957.

“Penentangan ratifikasi ICERD ini telah menjadi titik tolak terpenting dalam pemujukan hati antara dua musuh tradisi iaitu UMNO dan PAS. Akhirnya, termeterailah penyatuan ummah sehingga membawa kepada penjenamaan Muafakat Nasional,” imbaunya.

Oleh kerana itulah beliau berpendapat ukhuwah dan kekuatan Muafakat Nasional tiada tolak bandingnya.

“Siapa sangka muafakat itu mampu menggulingkan sebuah kuasa kerajaan yang sebelum itu pernah meruntuhkan sebuah empayar kerajaan tanpa kalah tertua dunia iaitu Barisan Nasional.

“Namun, sedangkan lidah lagi tergigit, inikan pula sebuah jalinan kerjasama politik terbesar umat Melayu di rantau ini. Sudah tentu akan diuji oleh Allah SWT dengan pelbagai jenis ujian,” katanya. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.