Insiden Perak Diharap Jadi Titik Tolak Perkukuhkan Kerjasama Parti – Sharkar

KUALA LUMPUR, 9 Dis – Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin percaya kemelut pelantikan Menteri Besar Perak yang akhirnya selesai hari ini adalah permulaan baru buat Perikatan Nasional (PN) setelah PAS dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) bersetuju menyokong calon tunggal yang dikemukakan UMNO, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Tampan Datuk Saarani Mohammad.

Menurut beliau insiden di Perak itu diharap menjadi titik tolak atau titik perubahan dalam mana selama ini masing-masing wujud perasaan syak antara satu sama lain, tuduh menuduh yang sekaligus menyebabkan suasana politik Malaysia dalam keadaan huru hara.

“Apabila ini berlaku, pembangkang khususnya DAP dan PKR cuba menangguk di air yang keruh kerana UMNO tidak cukup majoriti. Di Perak kita hanya ada 25 kerusi DUN. Tetapi akhirnya gabungan PN berjiwa besar, walaupun tegang pada awalnya, akhirnya kita berkompromi.

“Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sendiri seperti dimaklumkan dalam kenyataan telah memohon maaf di atas kekhilafan. Itu biasa dalam politik, Presiden UMNO berjiwa besar dan memberanikan diri meminta maaf dan akhirnya kata sepakat dicapai untuk Datuk Saarani Mohammad diangkat sebagai Menteri Besar Perak baru.

“Jadi, apa yang diharapkan gabungan antara PN ini terus diperkukuhkan dan apa yang berlaku di Perak itu adalah yang terakhir. Mahu tidak mahu, kita tidak dapat menafikan kita (gabungan parti politik dalam PN) memerlukan antara satu sama lain,” katanya dalam satu kenyataan kepada UMNO-Online, di sini, hari ini.

Sharkar yang juga Exco Kerajaan Negeri Pahang seterusnya menambah sifat kebergantungan antara UMNO, Bersatu dan PAS dalam PN menjadi asas kepada pembentukan kerajaan PN pada Mac lalu.

Tegas beliau tidak ada istilah dari tiga parti ini perlu mengalah antara satu sama lain malahan masing-masing memerlukan antara satu sama lain demi mengukuhkan politik tanah air.

“Sehubungan itu, adalah penting untuk PN dan MN melihat sejauh mana hubungan yang dimeterai ini dapat dieratkan dan dimantapkan demi kelangsungan kuasa Melayu Islam di Malaysia.  Apa yang perlu diutamakan ketika ini adalah memikirkan dan meletakkan masalah rakyat yang lebih utama daripada masalah peribadi serta kepentingan parti masing-masing.

“Semoga calon tunggal akan mengangkat sumpah sebagai MB Perak esok dan PN-MN terus kukuh demi agama, bangsa dan negara,” ujarnya. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.