Pemuda UMNO Mohon PM Campur Tangan, Hentikan Kelulusan Penjualan Aset THP

KUALA LUMPUR, 8 Dis – Pemuda UMNO mendesak Kerajaan Perikatan Nasional (PN) di bawah Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin agar segera campur tangan menghentikan penjualan ‘luar tabii’ oleh Pengurusan Tabung Haji Plantation Berhad (THP) yang merupakan lantikan Kerajaan Pakatan Harapan (PH) terdahulu.

Ini kerana kata Ketuanya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, ia jelas tidak memberi manfaat kepada THP dan 9.4 juta pendeposit TH.

“Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia amat kecewa dengan pendedahan Ahli Parlimen Baling, Datuk Seri Panglima Azeez Rahim di Dewan Rakyat pagi tadi di Parlimen, bahawa Unit Perancang Ekonomi (EPU), Jabatan Perdana Menteri (JPM) telah meluluskan penjualan aset tanah ladang kelapa sawit milik THP kepada Tamaco Plantation Sdn Bhd dengan harga RM170 juta melalui sepucuk surat bertarikh 24 November 2020.

“Pemuda UMNO telah berkali-kali mendesak agar Lembaga Tabung Haji (TH) dan Pengurusan THP tidak meneruskan penjualan kedua-dua syarikat Bumi Suria Ventures Sdn Bhdb (BSV) dan Maju Warisanmas Sdn Bhd (MWM) yang memiliki 6,514 hektar tanah di Sarawak termasuk melalui serahan Memorandum Membantah Penjualan Aset-Aset THP kepada Menteri Agama JPM, Menteri Ekonomi JPM dan Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) pada 30 November 2020 di Lobi Parlimen Malaysia,” tegasnya dalam satu kenyataan.

Ulasnya lagi, harga jualan pada RM170 juta itu telah disahkan sebagai ‘tidak masuk akal’ kerana jauh lebih rendah dari penilaian rasmi terakhir oleh Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH) ke atas aset ladang ini iaitu RM198 juta setelah tiga kali rayuan dibuat oleh THP.

“Lebih meragukan, nilaian asal ke atas aset ladang pada 2017 oleh jurunilai profesional CH Williams Talhar & Wong adalah pada harga RM380 juta sebelum ditukar kepada RM120 juta sahaja oleh Khong & Jaafar yang digantikan oleh Pengurusan baharu THP lantikan PH.

“Nilaian RM120 juta ini juga lebih rendah dari harga kos asal pembelian aset ladang pada 2013 ini iaitu RM234 juta,” bidasnya.

Tambah Dr Asyraf, walaupun wujud syarat Tamaco untuk mengadakan pemilikan kepentingan Bumiputera sebanyak 30% dalam tempoh satu tahun, logik penjualan aset-aset ladang tersebut untuk kepentingan THP telah hancur kerana harga satu tan Minyak Sawit Mentah (CPO) kini mencecah RM3,400.

“Malahan potensi tanah-tanah ini untuk dimajukan kelak amat tinggi kerana ianya berhampiran dengan jajaran projek Lebuhraya Pan Borneo,” katanya lagi. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.