Pegang Erat Hasil Musyawarah Parti, Hargai Kesetiaan Akar Umbi – Abdul Rahman

KUALA LUMPUR, 8 Dis – Politik adalah satu seni serba mungkin yang tiada limitasi di mana terkadang kawan akan hanya kekal menjadi kawan pada hari ini sahaja kerana esok ia sudah bertukar menjadi musuh pula dan begitu juga sebaliknya, ujar Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad.

Dalam menyantuni isu pergolakan politik di negeri Perak, Abdul Rahman berkata beliau sentiasa memegang erat kepada keputusan musyawarah Majlis Kerja Tertinggi UMNO di bawah kepimpinan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

“Ini kerana, UMNO telah mengajar kita erti mempertahankan perjuangan parti melalui ketaatan kepada pucuk pimpinan yang telah diangkat dan dipilih oleh para wakil parti dari pelbagai peringkat seluruh negara.

“Bagi saya, mentaati pucuk pimpinan parti bermakna kita meraikan dan menghargai segala pengorbanan serta kesetiaan para akar umbi,” kata Timbalan Menteri Pembangunan Pembangunan Luar Bandar dalam satu kenyataan.

Berhubung isu politik di negeri Perak, Abdul Rahman berpandangan, setelah Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu meletakkan jawatan selaku Menteri Besar Perak, boleh dirasakan rakyat negeri itu amat ternanti-nanti sebuah kerajaan yang kukuh dengan seorang pemimpin yang berintegriti dan berfikir jauh ke hadapan.

“Yang benar sekarang adalah rakyat jelata. Wakil rakyat yang berjaya dalam pilihan raya adalah pilihan utama rakyat untuk memimpin mereka. Justeru, sesuailah memberi peranan kepada parti yang lebih majoriti untuk dipilih oleh rakyat mentadbir kerajaan rakyat.

“Selaku Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, saya melihat kemelut politik di negeri Perak ini sebagai suatu pentas ujian bagi mengukur keikhlasan sesama kita untuk memperjuangkan kerajaan yang bersih, berintegriti dan mampu membela rakyat dalam erti kata yang sebenar,” ujarnya lagi.

Justeru, Ahli Parlimen Lipis itu juga mendoakan para penyokong UMNO akan terus menyantuni segala keputusan yang dilakukan oleh pucuk pimpinan parti.

“Manakala bagi rakan-rakan dalam Muafakat Nasional pula saya berharap agar kita terus dapat bersatu padu dalam membantu Perikatan Nasional menjaga rakyat selepas mereka semua ‘dilukai’ oleh tindak tanduk Pakatan Harapan sebelum ini,” katanya. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.