COVID-19: Sektor Pelancongan Paling Terjejas, Pembangkang Tetap Mahu Undi Belah Bahagian

KUALA LUMPUR, 8 Dis – Pihak pembangkang hari ini mengusulkan undi belah bahagian untuk memutuskan Belanjawan 2021 di peringkat Jawatankuasa bagi Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), kata Ahli Parlimen Ayer Hitam, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong.

Jelas Presiden MCA itu, sepanjang perbahasan, tiada isu kontroversi dan tiada perbalahan malah menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri menjawab dengan tentang.

“Namun kesudahannya tetap sama, MP (ahli Parlimen) pembangkang tetap juga minta undi belah bahagian!

“Sedangkan semua sedia maklum, sektor yang amat terkesan akibat pandemik COVID-19 ialah sektor pelancongan,” tegasnya dalam satu hantaran di Facebook.

Tambah Wee yang juga Menteri Pengangkutan, sepatutnya setiap ahli Dewan Rakyat tidak kira fahaman politik haruslah sehati sejiwa membantu menghidupkan semula sektor pelancongan di Malaysia.

“Belanjawan yang diluluskan kepada MOTAC pastinya bertujuan memulihkan ekonomi khususnya sektor pelancongan.

“Tapi apakan daya, pihak pembangkang tetap membangkang kerana namanya pun pembangkang?” tanya lagi.

Wee juga bersyukur setelah kiraan undi belah bahagian untuk Belanjawan 2021 MOTAC, sebanyak 109 undi menyokong manakala 96 tidak menyokong. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.