UMNO Sabah Wujudkan Jabatan Urusan Pilihan Raya, JUARA

KOTA KINABALU, 7 Dis – UMNO Sabah akan mewujudkan Jabatan Urusan Pilihan Raya (JUARA) yang akan dilancarkan awal tahun depan.

Ketuanya Datuk Seri Bung Moktar Radin  berkata JUARA berperanan untuk menyelaras dan melaksanakan pelbagai program bagi mendekati ahli dan rakyat di peringkat akar umbi terutamanya sebagai persediaan untuk menghadapi pilihan raya umum (PRU) akan datang.

Bung berkata, ia akan digerakkan oleh lima sekretariat iaitu Sekretariat Big Data, Penyelidikan, Komuniasi Strategik, Latihan dan Naziran.

“Melalui sekretariat ini pelbagai program mengikut sekretariat masing-masing akan digerakkan untuk mendekati ahli dan rakyat di peringkat akar umbi bertujuan untuk memperkasakan lagi kekuatan parti,” katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat badan perhubungan UMNO Sabah di Bangunan UMNO pada Sabtu.

JUARA yang dipengerusikan oleh Setiausaha UMNO Sabah, Datuk Jafry Arifin dibantu oleh Datuk Mohd Rafi Ali Hasan sebagai Timbalan Pengerusi, Setiausaha Hashim Mohd Soon, Bendahari Suhaimi Haji Nasir dan Ketua Penerangan, Datuk Raimie Unggi.

Di peringkat Sekretariat pula Sekretariat Big Data dipengerusikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Dalit, Jasni Daya, Sekretariat Penyelidikan ADUN Tanjung Keramat, Ir Shahelmey Yahya, Sekretariat Komuniasi Strategik ADUN Tampasuk, Arshad Bistari, Sekretariat Latihan ADUN Sungai Manila,  Mokran Singkat dan Sekretariat  Naziran ADUN Pantai Manis, Tamin Zainal.

Menurut Bung yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO melalui JUARA yang baru ditubuhkan ini, usaha untuk memperkuatkan parti akan lebih teratur dan sistematik melalui gerak kerja yang dilaksanakan oleh sekretariat yang sedia ada.

Dalam pada itu UMNO Sabah turut menzahirkan ucapan penghargaan dan terima kasih kepada bekas Setiausaha Eksekutif UMNO Sabah, Datuk Mohd. Kadzim Yahya atas sumbangan  beliau yang telah berkhidmat bersama UMNO Sabah hampir 30 tahun.

Menurut Bung Mohd. Kadzim telah melaksanakan tugas beliau sebagai Setiausaha Eksekutif dengan penuh cemerlang ketika parti berhadapan dengan saat suka dan duka.

Mohd Kadzim yang dilantik sebagai Yang di Pertua DUN Sabah yang baharu bulan oktober lepas dan tempat beliau diambil alih oleh Awang Aslee Lakat sebagai Setiausahaa Eksekutif UMNO Sabah yang baharu.

Di mesyuarat tersebut Bung juga turut mengumukan perlantikan dan kemasukan semula ADUN Usukan Datuk Seri Panglima Salleh Tun Said sebagai Pengarah Pilihan Raya Sabah bagi PRU ke 15 akan datang.

Selain Salleh yang menyertai semula UMNO, UMNO Sabah juga turut menerima kemasukan ADUN Sugut Datuk James Ratib, bekas ADUN Pitas Datuk Bolkiah Ismail, bekas ADUN Pantai Manis, Datuk Abdul Rahim Ismail dan bekas ADUN Kemabong Jamawi Jaafar. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.