Tekad Pastikan UMNO, BN Terus Teguh Di Hati Rakyat – Salleh

KUALA LUMPUR, 7 Dis – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Usukan, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak berkata pelantikannya sebagai Pengarah Pilihan Raya Barisan Nasional (BN) Sabah merupakan satu tanggungjawab dan amanah yang besar serta berat buat dirinya.

Pengerusi Kelab Backbenchers Gabungan Rakyat Sabah (GRS) itu berkata, beliau akan menggalas tanggungjawab dan amanah yang diberikan dengan sebaik upaya untuk memastikan UMNO dan BN terus teguh di hati rakyat Sabah.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Raden dan seterusnya UMNO Sabah yang mengumumkan penerimaan semula diri saya bersama empat orang lagi bekas pemimpin parti kembali ke UMNO kelmarin.

“Saya turut menghargai kepercayaan yang diberikan kepada saya oleh UMNO Sabah dan juga BN Sabah yang melantik saya sebagai Pengarah Pilihan Raya BN Sabah untuk Pilihan Raya Umum yang akan datang.

“Kerjasama erat dan persefahaman antara UMNO, BN dan rakan-rakan dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS) akan dikekalkan malah diperkukuhkan lagi demi membawa Sabah ke masa hadapan yang lebih gemilang,” katanya dalam satu kenyataan yang disiarkan di blognya sallehsaid.com.

Seterusnya, Salleh juga mengulangi ucapan terima kasih yang tidak terhingga kepada pengundi-pengundi di Sabah khususnya di DUN Usukan yang memberikan kepercayaan kepadanya, dan juga kerana meletakkan kepercayaan kepada UMNO, BN dan rakan-rakan dalam GRS untuk mengemudi pentadbiran Kerajaan Negeri Sabah.

“Kepercayaan ini tidak akan disia-siakan dan saya bersama UMNO dan BN akan terus membantu GRS memperkukuhkan Kerajaan Negeri Sabah di samping terus mendapatkan keyakinan dan sokongan daripada rakyat Sabah,” tambahnya lagi. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.