Seperti Biasa… Dap Buat Fitnah, Kemudian Minta Maaf Bila Tindakan Undang-undang Diambil

KUALA LUMPUR, 7 Dis – Sudah menjadi kebiasaan bagi parti Dap yang sering membuat kenyataan berunsur fitnah dan kemudiannya mengemukakan permintaan maaf serta menarik kembali kenyataan setelah tindakan undang-undang diambil terhadap mereka.

Terkini, isu fitnah dari Pengerusi Kebangsaan Dap, Tan Kok Wai yang menuduh Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa yang disiarkan di portal Malaysiakini pada 18 Nov lalu dengan artikel bertajuk “MP Cheras dakwa 42 plot tanah DBKL dijual sejak Annuar jadi menteri”, dengan mendakwa 42 plot Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) terjual dalam tempoh lapan bulan terakhir Annuar berkhidmat sebagai menteri Wilayah Persekutuan.

Penyiaran artikel tersebut menyebabkan Annuar yang juga Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) mengambil tindakan menyerahkan notis guaman menuntut Tan yang juga Ahli Parlimen Cheras menarik balik, membuat permohonan maaf dan ganti rugi berhubung kenyataan fitnah tersebut.

Annuar turut memfaikan saman terhadap portal terbabit serta ketua pengarangnya, Gan Diong Keng kerana menyiarkan artikel itu.

Hari ini, Annuar di dalam ciapan di Twitternya mendedahkan Tan telah berjumpanya secara mengejut mengemukakan permohonan maaf berhubung fitnah yang dilemparkan.


“Saya menerima kunjungan mengejut Pengerusi Kebangsaan Dap, YB (Yang Berhomat) Tan Kok Wai (MP (Ahli Parlimen) Cheras) di pejabat saya sebentar tadi.

“Beliau menyerahkan surat pengakuan memohon maaf dan menarik balik kenyataan fitnah terhadap saya 18hb Nov lepas. Terima kasih. Saya akan rujuk peguam saya,” ciap Annuar yang juga Ahli Parlimen Ketereh.

Untuk rekod juga, ketika dituduh oleh Tan, Annuar dalam sidang medianya di bangunan Parlimen pada 19 Nov lalu dengan tegas berkata sepanjang memegang jawatan menteri dalam tempoh lapan bulan sejak Mac lalu, beliau tidak pernah menerima apa-apa permohonan daripada DBKL untuk menjual mana-mana aset mereka.

Katanya, tindakan Tan yang juga Pengerusi Dap Wilayah Persekutuan itu sangat berbaur fitnah, menjejaskan reputasinya dan DBKL.

Annuar juga tegas berkata Tan sepatutnya membangkitkan perkara itu dalam Dewan Rakyat supaya beliau boleh memberikan jawapan, bukannya di luar dewan.

“Tindakan di luar Parlimen tertakluk undang-undang tertentu, justeru saya telah arahkan peguam saya untuk ambil tindakan undang-undang terhadap beliau mengikut jalur dan proses sedia ada kerana saya memandang serius terhadap tuduhan seperti ini,” katanya. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.