Lulus Belanjawan 2021, Kerajaan Johor Perlu Segera Fokus Kepada Pelaksanaan – DMJ

JOHOR BAHRU, 7 Dis – Dewan Muda Johor (DMJ) mengucapkan tahniah kepada Menteri Besar Johor, Datuk Ir Hasni Mohammad dan semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Johor kerana berjaya meluluskan Belanjawan Johor 2021, semalam.

DMJ berasa sangat berbangga kerana Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor telah menunjukkan kematangan yang tersendiri apabila usul Belanjawan Johor 2021 diluluskan secara sebulat suara.

“Melalui kelulusan belanjawan ini juga, ia secara tidak langsung membuktikan ADUN Johor meletakkan kepentingan rakyat melangkaui parti terutama semasa pandemik COVID-19 melanda negara.

“DMJ berpendapat rakyat ingin melihat kerajaan negeri memfokuskan kepada agenda pelaksanaan bagi memastikan 12 Agenda yang digariskan dalam Belanjawan Johor 2021 dapat diterjemahkan dan dirasai oleh rakyat. Ini kerana, polisi yang baik, jika tiada perancangan pelaksanaan yang baik, maka polisi tersebut akan gagal. ‘A good policy must be with good implementation’.

“DMJ yakin dengan kemampuan kerajaan negeri Johor yang diterajui oleh Hasni Mohammad bersama barisan Exco dan ADUN yang berwibawa, pelaksanaan Belanjawan Johor 2021 ini mampu menyahut tema Belanjawan Johor 2021 iaitu ‘No one is left behind, and we will cater all Johoreans’,” menurut DMJ dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah kenyataan itu lagi, DMJ sangat teruja menantikan bantuan ‘one-off’ yang akan diberikan oleh kerajaan negeri kepada golongan sasar.

“Sebagai contoh, bantuan tunai ‘one-off’ RM150 kepada mahasiswa anak Johor, RM1,000 kepada pemandu pelancong berdaftar di Johor, RM500 kepada pengusaha bas berdaftar dan beberapa lagi.

“Kerajaan negeri perlu mengambil iktibar daripada bantuan ihsan Johor yang lepas dan menambahbaik sistem pelaksanaan pemberian bantuan tunai tersebut. Sebagai contoh, pemberian wang tunai RM100 untuk setiap anak di sekolah rendah ataupun menengah dalam Belanjawan Johor 2021 perlulah disalurkan selewat-lewatnya tujuh (7) hari sebelum sesi persekolahan 2021 bermula pada 20 Januari 2021 agar dapat membantu meringankan beban ibu bapa dalam menyediakan keperluan asas anak-anak ke sekolah.

“Begitu juga dengan bantuan-bantuan tunai ‘one-off’ yang lain. Dalam keadaan pandemik COVID-19 ini, golongan rentan (vulnerable groups) seperti warga emas, orang kurang upaya, orang miskin, wanita, belia adalah antara golongan yang sangat terkesan dan perlu dibantu dengan kadar segera tanpa karenah birokrasi.”

DMJ juga sangat berbesar hati dan berterima kasih kepada Hasni kerana telah mengangkat DMJ sebagai satu platform dibawah kerajaan negeri yang akan berperanan melatih pemimpin muda Johor di peringkat global.

“Pengiktirafan ini adalah sangat penting bagi memastikan ahli-ahli DMJ berada di barisan hadapan untuk menyumbang idea dan kepakaran mereka untuk negeri Johor yang tercinta.

“Semoga Belanjawan Johor 2021 yang bertemakan ‘Berdaya Tahan Demi Kemakmuran’ dengan kos pembelanjaan sebanyak RM1.857 bilion ini akan akan mampu memberikan kesejahteraan kepada rakyat Johor dan meletakkan negeri Johor di landasan yang tepat untuk keluar segera daripada kemelut ekonomi hari ini,” tegasnya. – UMNO Online

Oleh: Amin Adnan

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.