Kerajaan Perikatan Nasional Perak Libatkan UMNO, PAS, PPBM Perlu Terus Dipertahan

KUALA LUMPUR, 7 Dis – UMNO berpendirian bahawa Kerajaan Perikatan Nasional (PN) Perak yang melibatkan ADUN UMNO, PAS dan PPBM perlu terus dipertahankan.

Demikian maklum Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan dalam satu kenyataan media selepas mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO yang berlangsung di Menara Dato Onn, hari ini.

Katanya, mesyuarat MKT juga telah membincangkan tentang senario politik Negeri Perak.

“Mesyuarat memutuskan agar Kerajaan Perikatan Nasional Perak yang melibatkan ADUN UMNO, PAS dan PPBM perlu terus dipertahankan,” ujarnya.

Kemelut politik Perak tercetus pada Jumaat lepas selepas pembentangan usul ‘keyakinan ADUN terhadap menteri besar’ yang menyaksikan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu kehilangan sokongan majoriti ADUN.

Menerusi usul semasa Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Ahmad Faizal yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chenderiang hanya memperoleh 10 sokongan berbanding 48 menentang, manakala satu berkecuali.

Jawatan Menteri Besar Perak kini kosong selepas Ahmad Faizal meletak jawatan sehari kemudian.

DUN Perak merangkumi 25 BN, DAP (16), Amanah (5), Bersatu (5), PKR (3) dan PAS (3), manakala Gerakan dan Bebas masing-masing satu kerusi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.