Kenapa Pemuda UMNO Pilih Perjuangkan Isu KWSP Bagi Pihak Rakyat?

KUALA LUMPUR, 7 Dis – Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Dr Asyraf Wajdi berkata ada suara sinis yang menuduhnya dan Pemuda UMNO sengaja membangkitkan isu i-Sinar Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk meraih populariti.

Bahkan katanya, ada juga yang mendakwa tindakan mereka itu untuk menjatuhkan kerajaan sedia ada.

“Saya hanya boleh katakan kepada mereka, cubalah ambil masa baca semua komen-komen rakyat di ruang-ruang media sosial termasuk status-status di ‘FB (Facebook) Page’ saya ini.

“Ini tidak termasuk ribuan mesej yang kami di Sekretariat Pemantau Isu KWSP-PEMUDA UMNO terima melalui dua talian ‘hotline’ yang disediakan,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Hakikatnya tegas Dr Asyraf lagi, rakyat di bawah bukan sahaja di kalangan B40 tetapi juga M40 bahkan yang dahulunya berada dalam kategori T20 susah, gelisah bahkan cemas memikirkan soal-soal kelangsungan hidup mereka yang terjejas.

“Ini termasuk lebih 800,000 yang sudah hilang pekerjaan sejak COVID-19 melanda.

“Sebab itulah Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia secara konsisten dari awal mengangkat isu ini sebagai salah satu daripada perkara rakyat yang cemas dan tertekan mahukan,” tambahnya lagi.

Ulasnya lagi, pelbagai usaha telah pihaknya lakukan termasuklah bersemuka dan menghantar memorandum kepada Menteri Kewangan, Menteri Ekonomi selain daripada cuba mendapatkan temujanji bersama Ketua Pegawai Eksekutif KWSP sendiri (walaupun dua kali dibatalkan temujanji), membawa pandangan rakyat kepada Majlis Tertinggi UMNO, Dewan Tertinggi Barisan Nasional (BN) dan Ahli-Ahli Parlimen BN untuk diperjuangkan dalam Parlimen.

“Ini tidak termasuk melalui semua saluran media, arus perdana, televisyen dan juga media sosial.

“Insya-Allah, kami Pemuda UMNO akan terus istiqomah memperjuangkan isu ini bagi pihak rakyat walaupun dituduh dengan pelbagai tohmahan. Akhirnya yang penting rakyat yang mendapat manfaatnya.

“Permudahkan urusan orang, nescaya Allah akan mempermudahkan urusan kita” (Hadis),” ujarnya lagi. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.