UMNO Tidak Pernah Bersekongkol Dengan Dap… Pertahan Agama, Bangsa, Tanah Air

KUALA LUMPUR, 6 Dis – Parti mana yang bersekongkol dengan Dap?

Persoalan tersebut ditimbulkan oleh Exco Pergerakan Pemuda UMNO, Wan Mohd Azri Wan Deris yang menegaskan bahawa UMNO konsisten ‘no Dap no Anwar’.

Ujarnya, sejak dulu, kini dan selamanya inilah yang UMNO pegang malah Pilihan Raya Umum ke-14 UMNO tewas pada Pakatan Harapan (PH) tidak sesekali pun melutut minta nyawa kepada mana-mana pemimpin PH apatah lagi Anwar dan Dap.

“Berbeza dengan Bersatu yang menang pada pilihan raya kerana fitnah dan manifesto palsu terus melutut dan sanggup bersekongkol dengan Dap hingga apa sahaja yang dilakukan dap direstui oleh Bersatu.

“UMNO tidak pernah bersekongkol dengan Dap untuk menjatuhkan parti Melayu Islam. UMNO tidak pernah sama sekali bersekongkol untuk mendapatkan kuasa hingga sanggup bersama Dap melacurkan Islam,” katanya dalam kenyataan menerusi laman facebooknya.

Tegasnya lagi, UMNO tidak akan bersekongkol dengan Dap kerana UMNO ditubuhkan bukan untuk melawan Melayu sebaliknya untuk mempertahankan hak agama Islam, institusi Raja-Raja Melayu, bangsa Melayu Bumiputera dan kedaulatan tanah air di samping memastikan kebajikan rakyat berbilang kaum di Malaysia.

“Bersatu sepatutnya sedar diri yang mereka lahir dari kebencian dan kemarahan membabi buta diransang Dap untuk memecahbelahkan Melayu Bumiputera. ‘No Dap no Anwar’,” katanya lagi.

Wan Azri berkata demikian sebagai maklum balas terhadap kenyataan Pengerusi Srikandi Muda Bersatu, Datin Ema Syuhaili Mohamad Sukor yang berkata, tidak terkejut sekiranya UMNO sanggup bersekongkol dengan Dap demi kuasa dalam kemelut politik di Perak.

Terdahulu Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan menjelaskan bahawa UMNO berpendirian kerajaan Perikatan Nasional (PN) di Perak mestilah dikekalkan dan undi percaya yang berlaku hanya melibatkan jawatan Menteri Besar Perak sahaja tanpa mengubah status kerajaan negeri.

Dalam sidang DUN Perak Jumaat lalu, usul undi percaya dibawa oleh ADUN Pengkalan Baru, Datuk Abd Manap Hashim yang menyaksikan Ahmad Faizal gagal memperoleh sokongan majoriti ADUN apabila hanya menerima 10 undi menyokong manakala 48 tidak menyokong dan satu berkecuali.

DUN Perak merangkumi 25 ADUN (BN) yang kesemuanya daripada UMNO, 16 (Dap), Bersatu (lima), Amanah (lima), PKR (tiga), PAS (tiga), Gerakan dan Bebas masing-masing satu.

Ahmad Faizal dilantik semula menjadi Menteri Besar Perak menerusi kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang dibentuk melalui mandat 32 ADUN pada 13 Mac lalu setelah Bersatu keluar daripada PH. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.